AM

Projek LRA Taman Mengkuang Lancar, Capai Kemajuan 35 Peratus

09/05/2026 02:15 PM

BUKIT MERTAJAM, 9 Mei (Bernama) -- Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Taman Mengkuang oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bernilai RM250 juta  kini sudah mencapai kemajuan 35 peratus.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerja-kerja fizikal bagi projek itu telah dimulakan sejak 19 Mei tahun lepas, dan setakat ini berjalan lancar mengikut jadual serta dijangka siap pada 18 Nov depan.

Beliau berkata apabila siap kelak loji itu akan memperoleh bekalan harian daripada Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD), yang juga empangan terbesar di negeri ini, dan berupaya membekalkan maksimum 114 juta liter sehari (JLH) air terawat keada pengguna khususnya di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

“Loji baharu ini dibina di tepi EMD, yang sebelum ini adalah sebuah empangan strategik, Simpanan air di empangan adalah untuk kegunaan apabila berlaku kecemasan di LRA Sungai Dua. 

“Tetapi memandangkan permintaan air semakin meningkat, maka kita melaksanakan Pelan Kontigensi Air 2030 (WCP2030) bertujuan menggunakan apa juga sumber air mentah di Pulau Pinang, dan EMD ialah satu sumber yang boleh kita gunakan melalui projek LRA ini, di samping lain-lain projek di bawah WCP2030.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak bagi melihat kemajuan projek itu, di sini hari ini, dan lawatan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K. Pathmanathan dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari.

Mengulas lanjut, Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata serentak dengan projek LRA itu, dua paip utama turut dibina bagi membolehkan penyaluran air terawat kepada pengguna di kawasan SPT, khususnya di Bukit Mertajam dan Tasek.

“Ia sekali gus memastikan bekalan air mencukupi serta membantu mengoptimumkan operasi pam air di sepanjang jajaran termasuk di Permatang Tinggi untuk menyalurkan bekalan ke kawasan selatan negeri,” katanya.

Sementara itu, Pathmanathan berkata LRA Taman Mengkuang ialah LRA pertama daripada empat LRA baharu, yang sedang dibangunkan oleh PBAPP di bawah Fasa 2 WCP2030.

Beliau berkata tiga lagi loji bakal memanfaatkan Sungai Kerian, Sungai Perai serta Sungai Muda, yang dijadualkan siap menjelang 2030.

“Secara keseluruhannya Fasa 2 ini akan meningkatkan kapasiti rawatan air PBAPP di Seberang Perai sebanyak 478 JLH. Oleh itu, Seberang Perai akan kurang bergantung kepada bekalan air terawat dari LRA Sungai Dua.

“Ini akan membolehkan PBAPP menyalurkan lebih banyak air terawat dari Sungai Dua ke Pulau Pinang menerusi saluran paip khusus dan Projek Paip Berkembar Dasar Laut Pulau Pinang Ketiga (PTSP ke-3),” katanya.

Pathmanathan dalam pada itu berkata pengoperasian LRA Taman Mengkuang itu nanti akan menukarkan fungsi EMD daripada sebuah empangan strategik musim kemarau kepada empangan dwifungsi.

Beliau berkata rasional penukaran fungsi EMD itu, antara lain bertujuan mengoptimumkan sumber air mentah sedia ada bagi memastikan kecukupan bekalan air hingga 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan