MIRI, 8 Mei (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Ridan, Marudi memasuki hari kedua hari ini dengan penemuan sebahagian anggota badan mangsa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan Liew Mei Koon, 64, dipercayai menjadi mangsa serangan buaya.
“Pada 10.52 pagi, pasukan SAR menemukan sebahagian anggota badan mangsa iaitu dua kaki, satu kepala dan satu tangan.
“Pada 4 petang, operasi pencarian tamat sepenuhnya, kerana anggota badan yang lain gagal dijumpai. Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” menurut sumber JBPM dalam satu kenyataan hari ini.
JBPM memaklumkan mereka menerima panggilan berhubung kehilangan mangsa pada 9.20 semalam, sebelum pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi digerakkan ke lokasi di Jalan Industri, Sungai Ridan.
Adik mangsa melaporkan lelaki itu hilang selepas motosikal, pakaian dan peralatan memancing miliknya ditemukan di bawah jambatan Sungai Ridan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial