KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pemain legenda Liverpool Steven Gerrard masih belum membuat keputusan untuk beraksi pada perlawanan bola sepak All Star Legends di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Okt ini.
Bekas pemain tengah England itu berkata keputusan mengenai perkara berkenaan dijangka diketahui dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi.
Gerrard bagaimanapun berkata beliau berharap akan menyertai perlawanan pertunjukan yang bakal menghimpunkan beberapa bekas bintang bola sepak melibatkan legenda Manchester United dan Liverpool itu.
“Saya rasa ini adalah acara yang hebat dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Saya berharap dapat hadir dan menjadi sebahagian daripadanya. Saya sepatutnya membuat keputusan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi,” katanya pada sidang media All Star Legends di sini hari ini.
Walaupun perlawanan itu dilabel sebagai aksi pertunjukan, Gerrard berkata bekas pemain elit masih memiliki semangat dan daya saing yang tinggi setiap kali mereka beraksi di tengah padang.
“Kami tidak menerima hadiah atau sebagainya, namun tetap ada pemenang pada penghujung perlawanan. Sebaik sahaja wisel ditiup, semua elemen persahabatan akan terhenti selama 90 minit kerana semangat dan perjuangan itu tidak pernah hilang, lebih-lebih lagi apabila menentang pemain Manchester United,” katanya.
Gerrard turut menekankan kepentingan mengekalkan mentaliti kemenangan dengan memberitahu semangat, pengorbanan dan keinginan untuk bersaing adalah ciri yang perlu dimiliki setiap atlet yang bercita-cita tinggi.
Sementara itu, Gerrard ketika ditanya mengenai perkembangan bola sepak komersial di Asia Tenggara berkata rantau itu kekal penting dalam landskap bola sepak global berikutan semangat yang ditunjukkan para penyokong.
“Anda dapat melihat dan merasai semangat itu. Bola sepak di peringkat global amat besar dan penting bagi bekas pemain untuk terus mengunjungi tempat seperti ini, berhubung dengan penyokong serta memberi kembali kepada mereka,” tambahnya.
Pemain yang diperkenalkan bagi kedua-dua pasukan termasuk Jaap Stam, Eidur Gudjohnsen dan Ian Harte yang mewakili AllStar Premier Legends manakala AllStar World Legends akan dibarisi bintang antarabangsa seperti Dida, Javier Saviola dan Maicon.
Senarai penuh pemain bersama maklumat tiket acara akan diumumkan menjelang tarikh perlawanan. Selain itu, barangan eksklusif acara juga akan dijual secara dalam talian bagi memberi peluang kepada peminat memperingati acara berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial