BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 EKONOMI

Jualan Sektor Pembuatan Berkembang 5.3 Peratus Kepada RM173.1 Bilion Pada Mac 2026 - DOSM

08/05/2026 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Sektor pembuatan mencatatkan nilai jualan RM173.1 bilion pada Mac 2026, meningkat 5.3 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan nilai jualan sektor pembuatan itu didorong terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat 13.3 peratus pada Mac 2026.

“Pertumbuhan itu turut disokong subsektor makanan, minuman dan tembakau serta subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang masing-masing meningkat 7.8 peratus dan 3.7 peratus,” katanya.

Berdasarkan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 8.7 peratus daripada RM159.2 bilion yang dicatatkan pada Februari 2026.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata pertumbuhan nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.7 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan berkembang 6.5 peratus pada Mac 2026, dipacu peningkatan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 15.2 peratus.

Selain itu, beliau berkata pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan turut mencatat pertumbuhan 10.2 peratus, manakala pembuatan mesin dan peralatan berkembang 2.7 peratus.

Berbanding nilai jualan bulan sebelumnya, industri berorientasikan eksport melonjak 10.7 peratus.

Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik pula meningkat 2.5 peratus pada Mac 2026 selepas merekodkan pertumbuhan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Prestasi itu disokong terutamanya oleh pertumbuhan industri pembuatan produk pemprosesan makanan sebanyak 5.0 peratus serta pembuatan logam asas dan produk mineral bukan logam lain sebanyak 3.2 peratus.

Dari segi bilangan pekerja, beliau berkata sektor itu merekodkan seramai 2.4 juta pekerja pada Mac 2026, meningkat 1.1 peratus, didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 2.1 peratus.

Ini diikuti produk E&E serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, masing-masing mencatat pertumbuhan 1.4 peratus.

Bagaimanapun, jumlah pekerja sektor itu susut 0.1 peratus berdasarkan perbandingan bulan ke bulan.

Beliau berkata gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan turut meningkat 2.2 peratus kepada RM8.56 bilion pada Mac 2026.

Namun, berbanding bulan sebelumnya, jumlah gaji dan upah yang dibayar susut 0.2 peratus. Susulan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja direkodkan pada RM71,705, meningkat 4.2 peratus, manakala purata gaji dan upah setiap pekerja ialah RM3,547, naik 1.1 peratus tahun ke tahun.

Bagi suku pertama 2026, sektor pembuatan mencatat nilai jualan RM501.5 bilion dengan pertumbuhan 5.5 peratus berbanding 5.8 peratus pada suku keempat 2025.

Jumlah pekerja meningkat 1.1 peratus kepada 2.4 juta orang manakala gaji dan upah naik 2.3 peratus kepada RM25.9 bilion. Nilai jualan bagi setiap pekerja pula berada pada RM207,779, meningkat 4.4 peratus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan