AM

Pantun Masih Bernafas Penghayatan Kian Menipis

08/05/2026 01:08 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

KUALA LUMPUR, 8 Mei  (Bernama) -- Pantun Melayu mungkin tidak lagi menjadi tutur harian masyarakat seperti suatu ketika dulu, namun terus kekal relevan dan “bernafas” dalam pelbagai majlis rasmi serta ruang berprestij sebagai lambang kekuatan budaya dan ketinggian adab bangsa merentasi zaman.

Sinonim sebagai medium penyampaian berlapik yang kaya dengan kiasan dan makna tersirat, pantun sering menjadi pilihan dalam adat Melayu termasuk majlis merisik dan perkahwinan, selain diperkasakan menerusi pelbagai platform seperti pertandingan dan program kesenian bagi memastikan khazanah warisan itu terus dihayati generasi masa kini.

Bagi pakar budaya, usaha menyemarakkan  warisan negara itu yang dilakukan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 dilihat mampu menarik minat masyarakat untuk lebih menghargai keindahan dan nilai tinggi seni pantun Melayu.

Walaupun pantun tidak lagi diamalkan secara meluas dalam kehidupan seharian seperti pada era kegemilangannya ketika zaman Kesultanan Melayu, para sarjana berpandangan warisan itu masih memainkan peranan penting sebagai medium penyampaian mesej yang halus, sarat nilai budaya dan penuh kesantunan dalam kehidupan masyarakat.

Pensyarah Kanan Budaya, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nor Azita Che Din melihat prospek kelestarian pantun tidak akan “berkubur” sebaliknya akan terus terpelihara dan diperkasakan selaras dengan perkembangan semasa.

"Pantun ini bukan sekadar rangkaian kata berirama tetapi wahana pemikiran yang menggabungkan nilai, ilmu dan falsafah hidup masyarakat Melayu. Ia mendidik penutur menyampaikan maksud dengan tertib, beradab sekali gus mencerminkan cara berfikir yang matang,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, keunikan pantun  terletak pada penyampaian mesej secara kiasan yang membolehkan teguran atau sindiran disampaikan tanpa menyinggung perasaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan baharu perlu diteroka bagi memastikan pantun kekal relevan dalam persekitaran semasa, khususnya dalam menarik minat generasi muda.

“Pantun perlu ‘dihidupkan’ dalam medium yang lebih mesra generasi muda seperti media sosial, muzik dan kandungan digital, sekali gus membuka ruang kepada pendekatan lebih kreatif serta interaktif dalam mengangkat keindahan seni warisan itu.

“(Kita tidak mahu) pantun sekadar dikenali sebagai warisan tetapi terus difahami dan dihayati sebagai sebagai budaya hidup. Jika tidak disesuai dengan perkembangan zaman, pantun akan dikenali tetapi kehilangan makna dalam amalan masyarakat,” katanya. 

Pendekatan baharu itu juga katanya, dilihat boleh diperkukuh melalui peranan media yang berpotensi menyemarakkan kembali warisan berkenaan dalam kalangan masyarakat.

“Pertandingan pantun mungkin dianggap biasa tetapi apabila ia bersaing secara sihat dalam kalangan media dan dipromosi serta disebarluaskan menerusi pelbagai platform sama ada media sosial, sketsa pendek, televisyen selain siaran berita, ia membawa impak begitu besar dalam mengangkat nilai warisan tersebut kerana capaiannya lebih meluas,” katanya. 

Dianjurkan Bernama bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pesta Pantuan HAWANA-DBP 2026 yang memasuki tahun kedua penganjurannya akan berlangsung pada 9 Mei ini di Panggung Sari, Kompleks Kraf Jalan Conlay.

Diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, pertandingan kali ini menyaksikan penyertaan daripada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV3, Astro Audio News, Berita Harian, Sinar Harian, Media Selangor dan Bernama. 

Perancang bahasa di DPB, Azimin Daud berkata pertandingan pantun perlu dilihat sebagai ruang membina semula budaya berbahasa dan bukan sekadar hiburan.

“Pendekatan sedemikian mampu menyemai minat serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bahasa yang indah dan beradab. Bahasa Melayu akan terus kuat jika digunakan dengan penuh kesedaran, bukan hanya untuk berhubung tetapi membawa makna dan nilai,” katanya. 

Dalam pada itu, tokoh bahasa dan persuratan negara Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan mengakui sebahagian pantun masa kini khususnya pantun spontan, semakin kehilangan nilai estetik dan pemikiran yang mendalam susulan perubahan gaya hidup masyarakat masa kini.

“Ada pantun yang sekadar bermain rima seperti ‘pen merah, pen biru, you marah, I love you’, yang tidak membawa makna atau nilai yang kuat, sekadar senda gurau. Perubahan gaya hidup moden dan kecenderungan komunikasi segera turut mengehadkan ruang berfikir secara mendalam, yang menjadi asas penghasilan pantun berkualiti. 

"Orang dahulu ada ruang untuk merenung dan berfikir, lalu diterjemahkan dalam bentuk pantun, peribahasa dan syair. Hari ini, bukan sahaja minat berfikir berkurang tetapi ruang untuk berfikir juga semakin sempit,” kata Profesor Emeritus Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia ini. 

Walaupun demikian, beliau yang merupakan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM berkata teknologi digital tidak wajar dilihat sebagai ancaman sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk memperluas penggunaan pantun agar nilai estetiknya terus terpelihara dan dimartabatkan. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan