AM

MMC Usaha Seragamkan Sistem Pengurusan Aduan Media, Perkukuh Penglibatan Industri 

07/05/2026 05:37 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Majlis Media Malaysia (MMC) sedang berusaha menyeragamkan mekanisme pengurusan aduan di semua organisasi media utama, yang memainkan peranan sebagai platform utama dalam menyelesaikan pertikaian melibatkan industri berkenaan.

Ahli Lembaga MMC Datin Paduka Esther Ng berkata petunjuk prestasi utama (KPI) majlis itu adalah memastikan MMC menjadi “platform rujukan utama” bagi semua bentuk aduan berkaitan media, susulan landskap pengurusan aduan yang ketika ini tiada keseragaman.  

Beliau berkata meskipun kes melibatkan organisasi media tertentu masih boleh dirujuk kepada syarikat masing-masing untuk tindakan dalaman, namun proses pengurusan aduan sedia ada masih tidak seragam merentasi pelbagai platform dan organisasi.

“Sekarang kita dalam proses untuk mendapatkan semua media, khususnya syarikat media utama seperti Star Media Group dan Media Prima Bhd, supaya menubuhkan biro aduan mereka sendiri.

“Ini satu usaha penting. Kerana walaupun kita sudah ada struktur, tetapi semuanya mengikut cara masing-masing,” katanya kepada Bernama di luar Forum Media Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, di sini hari ini.

Ng berkata penyeragaman adalah perlu bagi mengelakkan kekeliruan serta memastikan pengadu memahami dengan jelas proses aduan yang perlu dilalui.

Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dalam ucapannya menyeru MMC memainkan peranan lebih besar dan mengamalkan pendekatan lebih berhemah dalam menangani isu berkaitan media, selain pertikaian berkaitan laporan perlu diselesaikan melalui majlis itu sebagai pengantara utama.

Mengulas penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Wartawan Tanpa Sempadan tahun ini, khususnya berhubung kebimbangan terhadap persekitaran perundangan dan media, Ng berkata kebebasan media perlu terus dilindungi kerana media berfungsi sebagai cerminan masyarakat dan penjaga rekod sejarah.

“Adalah sangat penting supaya media diberikan ruang untuk melaksanakan tugasnya, kerana kita adalah penjaga rekod. Kita di sini untuk merekodkan kebimbangan rakyat, aspirasi rakyat, dan jika kita tidak melindunginya, maka ia akan lenyap. 

“Ia bukan milik media sahaja. Ia milik rakyat yang kita perjuangkan. Jadi, kita perlu bekerjasama dalam hal ini. Media tidak boleh bekerja bersendirian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga MMC Ashwad Ismail menyifatkan usaha membina kepercayaan antara wartawan, pengawal selia dan agensi penguatkuasaan sebagai satu proses jangka panjang yang menuntut penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan industri.

“Ini adalah usaha jangka panjang yang berterusan. MMC baru sahaja ditubuhkan tahun ini dan kami sedang menilai keberkesanannya. Oleh itu, perkara paling penting adalah penglibatan berterusan MMC dengan semua pihak dalam industri media, termasuk organisasi media, wartawan serta penggiat industri,” katanya.

Beliau berkata penglibatan yang lebih meluas di luar operasi bilik berita amat diperlukan bagi memperkukuh keberkesanan dan kredibiliti majlis itu.

“… semakin rapat hubungan MMC dengan pengamal media dan pengawal selia kerana MMC bukan hanya menumpukan kepada satu bidang sahaja, maka penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan akan menjadi lebih baik … supaya kita boleh memperoleh lebih kepercayaan daripada wartawan, editor dan pengamal media,” katanya.

MMC yang ditubuhkan pada Februari tahun lepas ialah badan kawal selia kendiri bebas yang bertujuan mendukung etika kewartawanan, merangka kod tatalaku serta melindungi kebajikan pengamal media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan