SEPANG, 7 Mei (Bernama) -- Seorang penjual kuih didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menghantar komunikasi lucah bagi tujuan komersial melalui aplikasi Telegram, dua tahun lepas.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Branley Mohd Taha, 24, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar memberikan komunikasi lucah menggunakan akaun Telegram, iaitu akses kepada kumpulan Telegram “Baby Channel Lifetime” bagi tujuan komersial kepada ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 8.44 malam, 22 Julai 2024.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ahmad Fuad berkata kesalahan dilakukan oleh tertuduh memberi kesan besar terhadap moral masyarakat serta bertentangan dengan nilai agama Islam dan prinsip Rukun Negara iaitu “Kepercayaan Kepada Tuhan” dan “Kesopanan dan Kesusilaan.
Beliau berkata Malaysia terkenal dengan nilai kesopanan dan kesusilaan serta tiada agama di negara ini yang membenarkan perbuatan lucah.
Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Mohamad Azmir Mohd Razali manakala Branley tidak diwakili peguam.
Branley merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu ibunya yang tidak sihat untuk menjual kuih-muih.
Selain itu, katanya dia juga merupakan tulang belakang keluarga dengan menjaga ibu, adik dan anak saudara serta menyesali perbuatannya.
Pihak pendakwaan memohon agar hukuman berat dikenakan berikutan kesalahan terbabit adalah serius yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, selain tindakan itu dilakukan secara sedar dan bermotifkan keuntungan sehingga menjana RM33,000 menerusi penjualan aktiviti lucah itu.
Sementara itu, di hadapan hakim sama, seorang bapa enam anak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran bersifat jelik melampau menerusi akaun media sosial miliknya, Disember tahun lepas.
Mohd Azli Abdul Aziz, 59, selaku orang kena saman (OKS) didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat menyakiti hati mana-mana orang di Facebook menerusi akaun "Bro Li Angel", pada 2.32 pagi 23 Dis 2025.
Hantaran berkenaan dilihat di Menara MCMC1, Cyberjaya pada 12.30 tengah hari, 25 Dis tahun sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam S. Shastidaran merayu agar tawaran jaminan RM10,000 oleh Pegawai Pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri dikurangkan atas alasan anak guamnya telah mengalami kemalangan pada Oktober tahun lepas dan kini tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial