AM

Johor Peruntuk Lebih RM42.139 Juta Sejak 2022 Sokong Sektor Kesihatan - Exco

06/05/2026 04:14 PM

ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan lebih RM42.139 juta sejak 2022 bagi menyokong sektor kesihatan di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon.

Beliau berkata peruntukan berkenaan adalah untuk menaik taraf fasiliti, menambah peralatan perubatan, menaik taraf jabatan kecemasan serta bantuan one-off (sekali beri) pantri kepada hospital, pejabat kesihatan daerah, klinik pergigian dan klinik di seluruh Johor.

"Walaupun (sektor) kesihatan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kita (Johor) memilih untuk bertindak, bukan sekadar menunggu. Kita memilih untuk membantu, bukan mencari alasan," katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Ling berkata kerajaan negeri memahami realiti tekanan di lapangan yang dihadapi pihak hospital, sekali gus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk peruntukan untuk doktor dan pembantu perubatan (MA) lokum bagi mengurangkan bebanan kerja di Jabatan Kecemasan hospital.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga sektor kesihatan di Johor kerana terus berdiri teguh berkhidmat, meskipun berdepan tekanan dan kekangan.

Dalam pada itu, Ling berkata usaha berterusan Kerajaan Negeri Johor telah menjadikan 14 sungai yang tercemar pada tahap empat dan lima di negeri ini dikurangkan kepada tujuh.

Komitmen berkenaan, katanya tidak akan terhenti dengan sasaran dua lagi sungai iaitu Sungai Segget dan Sungai Danga dipulihkan tahun ini, sekali gus memastikan misi Johor sifar sungai tercemar menjelang 2030 tercapai.

Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak memandang ringan isu konflik manusia dan gajah apabila memperuntukkan RM600,000 bagi memindahkan 26 gajah bermula Julai tahun lepas hingga bulan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan