AM

JTKSM Labuan Tingkat Kesedaran Undang-undang Pekerjaan

06/05/2026 04:00 PM

LABUAN, 6 Mei (Bernama) -- Lebih 30 wakil daripada pelbagai sektor, khususnya industri maritim dan logistik, menghadiri Program Simposium Buruh 2026 bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Labuan di sini, hari ini.

Sesi taklimat separuh hari yang berlangsung di premis Megah Port Management Sdn Bhd itu dikendalikan Penolong Pengarah JTKSM Labuan, Noribnas Herman, sekali gus mencatat sejarah sebagai kali pertama pengendali pelabuhan berkenaan menganjurkan program kesedaran berkaitan pekerjaan.

Dalam satu kenyataan, Megah Port memaklumkan program itu bertujuan memperkukuh kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja mengenai hak, peranan serta tanggungjawab masing-masing di bawah undang-undang pekerjaan negara.

Sesi berkenaan turut menjadi platform berguna kepada pemain industri, khususnya sektor maritim dan logistik, untuk memahami dengan lebih jelas aspek berkaitan amalan pekerjaan, tanggungjawab di tempat kerja serta pematuhan terhadap Akta Kerja.

“Program ini memberi pemahaman lebih jelas kepada peserta mengenai pelbagai perkara berkaitan pekerjaan yang melibatkan majikan dan pekerja, termasuk syarat perkhidmatan, waktu bekerja, kelayakan cuti, hal ehwal gaji serta prosedur pekerjaan yang betul,” menurut kenyataan itu.

JTKSM Labuan turut mengalu-alukan pegawai sumber manusia daripada mana-mana syarikat di Labuan untuk mendapatkan nasihat dan penjelasan berkaitan isu pekerjaan daripada jabatan itu.

“Penglibatan awal dengan jabatan dapat membantu majikan memahami tanggungjawab mereka dengan lebih baik, selain memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Akta Kerja 1955 ialah perundangan utama yang mengawal selia hubungan pekerjaan di Semenanjung Malaysia dan Labuan dengan memperincikan hak serta tanggungjawab majikan dan pekerja.

Megah Port Management berkata penyertaan wakil daripada sektor berkaitan pelabuhan, maritim, logistik serta perkhidmatan sokongan mencerminkan kepentingan yang semakin meningkat terhadap kesedaran undang-undang buruh dalam ekosistem perniagaan di Labuan.

Menurutnya pengendali pelabuhan itu akan terus menyokong inisiatif yang mempromosikan amalan pekerjaan baik, pematuhan peraturan serta persekitaran kerja yang lebih berinformasi dalam ekonomi pulau bebas cukai Labuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan