KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Industri insurans am Malaysia merekodkan premium bertulis kasar (GWP) sebanyak RM24.2 bilion pada 2025, mewakili peningkatan 4.8 peratus daripada RM23.1 bilion yang dicatatkan pada 2024 selepas didorong oleh pengembangan berterusan dalam segmen insurans motor dan kebakaran, menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM).
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM Chua Kim Soon berkata industri itu mengekalkan momentum pertumbuhannya tahun lepas, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding hampir tujuh peratus yang disaksikan semasa 2024.
"Pertumbuhan ini telah dipacu oleh dua kelas perniagaan terbesar iaitu insurans motor dan kebakaran. Selain itu, insurans kemalangan diri (PA) juga berkembang dengan agak baik, mencatatkan pertumbuhan dua angka," katanya melalui satu taklimat media di sini hari ini.
Insurans motor kekal sebagai segmen terbesar, menyumbang 45.2 peratus daripada jumlah perniagaan insurans am, diikuti insurans kebakaran pada 20.9 peratus.
Insurans marin, penerbangan dan transit (MAT) menyumbang 7.4 peratus daripada portfolio insurans am, diikuti insurans PA pada 6.5 peratus serta insurans perubatan dan kesihatan (MHI) pada 5.1 peratus.
Chua berkata segmen MAT mencatatkan sedikit penurunan di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan aktiviti perdagangan global yang lebih lemah, manakala insurans PA merekodkan pertumbuhan sebanyak 12 peratus, didorong terutamanya oleh permintaan insurans perjalanan.
Chua juga berkata keuntungan pengunderaitan industri menokok sebanyak RM125 juta dari tahun ke tahun kepada RM1.2 bilion, manakala hasil gabungan keseluruhan kekal pada 93 peratus.
“Ini amat memberangsangkan kerana ini menandakan industri itu kekal teguh dan mampu untuk terus melindungi orang ramai dan pengguna bergerak ke hadapan,” katanya.
Chua berkata walaupun keputusan keseluruhan industri kekal sihat, tanda-tanda peningkatan aliran tuntutan dan tekanan kos yang semakin bertambah mula muncul.
Menurut Chua, impak geopolitik kekal sebagai salah satu cabaran utama yang sedang dihadapi oleh industri.
“Seperti yang kita sedia maklum, tahun lepas menyaksikan pelaksanaan tarif dan langkah-langkah lain yang mencetuskan kejutan kepada persekitaran kewangan serta ekonomi global. Terdapat ketidakpastian ketara yang telah menjejaskan aliran perdagangan dan pelaburan.
"Perkembangan ini juga memberi impak kepada rantaian bekalan, harga tenaga dan kos logistik. Penanggung insurans terus memantau perkembangan luaran ini dengan teliti termasuk cuba menyesuaikan operasi dengan sewajarnya," katanya.
Chua juga mengenal pasti perubahan iklim, penggunaan kenderaan elektrik dan tekanan inflasi sebagai antara cabaran utama yang dihadapi industri.
Bagaimanapun, beliau berkata industri insurans Malaysia kekal berdaya tahan dan berjaya mengharungi cabaran ini dengan gangguan yang agak minimum kepada pemegang polisi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial