JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Briged Utara Serbu Kilang Memproses Plastik Tanpa Kelulusan

06/05/2026 03:27 PM

ALOR SETAR, 6 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menyerbu sebuah kilang disyaki memproses sisa plastik tanpa kelulusan di Sungai Petani dan menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai peralatan termasuk plastik belum siap diproses bernilai kira-kira RM8.633 juta. 

Komander PGA Briged Utara SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata serbuan itu dilakukan menerusi Op Taring Alpha 5 oleh Cawangan Risik Batalion 3 PGA dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

"Operasi tersebut dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti pemprosesan sisa plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa di kawasan Sungai Petani," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 50-an dipercayai pemilik premis perniagaan itu dan hasil siasatan awal mendapati ia telah beroperasi sejak 2021, namun tidak pernah diserbu sepanjang perniagaan dijalankan. 

Katanya, fasiliti yang terdapat dalam premis itu digunakan untuk memproses sisa plastik dan bijian plastik yang telah siap diproses akan dihantar ke kilang di sekitar Kedah dan Pulau Pinang untuk dijadikan produk lain.

Balveer Singh berkata sumber bekalan bahan mentah plastik dan sisa plastik diperoleh dari kawasan perindustrian yang terletak di sekitar Kedah dan Pulau Pinang. 

"Antara peralatan dirampas ialah pelbagai mesin, jentera dan peralatan memproses plastik serta beg jumbo seberat kira-kira 200 tan yang berisi pelbagai plastik belum siap diproses," katanya.

Kes itu diserahkan kepada JAS Kedah dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan RM1,000 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas diberikan notis.

Beliau berkata MPSP turut mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada pemilik premis di bawah Akta 171 Undang Undang Kecil Perlesenan Premis Tred Perniagaan dan Perindustrian, MPSP Tahun 2017. 

Balveer Singh menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan plastik tanpa kelulusan sah kerana ia boleh mendatangkan risiko serius terhadap alam sekitar dan keselamatan awam. 

Beliau berkata PGA Briged Utara akan terus mempergiat risikan dan penguatkuasaan bagi mengenal pasti, membanteras dan mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkan maklumat kepada PGA Briged Utara bagi tindakan segera,” katanya. 

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan