AM

Bayaran Pendahuluan Insentif Pembajakan RM200 Kurangkan Beban Pesawah Di Kedah

06/05/2026 03:09 PM

ALOR SETAR, 6 Mei (Bernama) -- Bayaran pendahuluan insentif pembajakan RM200 bagi setiap hektar sawah melegakan petani di Kedah kerana membantu meringankan beban mereka dalam melakukan persediaan musim baharu tanaman padi.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata pemberian itu dapat membantu petani menyediakan modal awal bagi kerja membajak dan berharap ia dapat disalurkan dengan segera.

“Kita harapkan pendahuluan ini dapat disegerakan supaya ada juga modal operasi kepada petani. Sekarang ini masih banyak (proses) tertunda dan kita khuatir jadual penanaman kita akan jadi tergendala,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan memaklumkan pendahuluan itu dapat membantu petani memulakan kerja pembajakan dan penyediaan tanah yang menjadi fasa kritikal sebelum musim penanaman bermula.

Menurut kenyataan itu, peladang di kawasan Muda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan mendahulukan bayaran insentif tersebut kepada pesawah.

"Peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda menyifatkan langkah itu amat signifikan dalam keadaan kos pengeluaran yang semakin meningkat kerana ia memberi kelegaan dan ruang kepada peladang untuk terus mengusahakan sawah tanpa tekanan kewangan berlebihan.

"Inisiatif ini juga bukan sahaja meringankan beban, malah menyuntik semangat dan keyakinan untuk kami kekal produktif serta memastikan kelangsungan pengeluaran beras negara terjamin demi sekuriti makanan negara," menurut kenyatan itu.

Seorang pesawah, Shukri Baharom, 64, berkata dia dan rakan-rakan petani menyambut baik inisiatif berkenaan dan menganggapnya sebagai bantuan yang amat diperlukan ketika ini.

“Kita ucap terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan bantuan ini dan diharap selepas ini ada lagi bantuan lain terutama berkaitan diesel,” katanya.

Ridzuan Mansor, 54, pula berkata bantuan RM200 bagi setiap hektar itu tetap memberi manfaat walaupun jumlah yang diterima berbeza mengikut keluasan sawah.

“Kalau ikut kiraan relong, jumlah itu tidak besar tetapi kita tetap bersyukur, yang penting boleh mula kerja dan teruskan tanaman,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membayar wang pendahuluan RM200 bagi setiap hektar iaitu sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi mengurangkan bebanan mereka.

Inisiatif yang dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan beliau sendiri, akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan