AM

Pengasingan AG, Pendakwa Raya: Jawatankuasa Sasar Muktamad RUU Berkaitan Sebelum 18 Mei

05/05/2026 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menyasarkan untuk memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung perkara itu dalam masa terdekat sebelum dibentangkan menjelang mesyuarat terakhir pada 18 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sasaran itu dibuat susulan penelitian lanjut terhadap syor-syor yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Jawatankuasa menyasarkan untuk memuktamadkan RUU ini dalam masa terdekat sebelum suatu penyata yang mengandungi cadangan pindaan dikemukakan menjelang mesyuarat terakhir yang dijadualkan pada 18 Mei 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata Mesyuarat Jawatankuasa Bilangan Kelima yang dipengerusikannya hari ini memberi tumpuan kepada penggubalan RUU berkenaan.

Beliau berkata dalam mesyuarat itu, jawatankuasa telah mendengar pembentangan daripada Jabatan Peguam Negara mengenai cadangan draf RUU baharu yang dirangka berdasarkan syor-syor tersebut.

Azalina berkata Kerajaan MADANI kekal komited untuk memastikan proses pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara teliti, berprinsip dan berlandaskan Perlembagaan.

Katanya langkah itu selaras dengan usaha memperkukuh doktrin pengasingan kuasa serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Mesyuarat itu turut dihadiri ahli jawatankuasa berkenaan, iaitu Ahli Parlimen Parit Sulong, Selayang, Bangi, Lubok Antu, Bukit Gelugor, Tawau dan Muar.

“Ahli Parlimen Alor Gajah, Larut, Beluran dan Kota Bharu tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan