EKONOMI

MARA Sasar Jana Nilai Menerusi Pelaburan Impak Tinggi Berjumlah RM2.2 Bilion Menjelang 2030

05/05/2026 05:30 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menjana nilai menerusi pelaburan berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030.

Ketua Pengarahnya Datuk Zulfikri Osman berkata strategi itu antaranya melibatkan inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi yang bertujuan memperkukuh asas aset MARA, mempelbagaikan aliran pendapatan serta meningkatkan daya tahan portfolio jangka panjang.

“Inisiatif kredit karbon dijangka melibatkan kawasan lebih 200,000 hektar dengan potensi hasil sehingga RM450 juta menjelang 2030.

“MARA juga akan melancarkan tiga pembangunan hartanah berimpak tinggi iaitu Signal Hill di Kota Kinabalu, Sabah; Ampangan di Negeri Sembilan; dan Jalan Maktab di Kuala Lumpur, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion, yang dijangka siap menjelang 2030,” katanya pada sidang media sempena Sambutan 60 Tahun MARA di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata MARA merancang menjana pendapatan menerusi Wakaf MARA MADANI yang disokong melalui pembangunan ekosistem wakaf bernilai RM1 bilion.

“Pada masa sama, MARA akan melaksanakan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) yang dijangka siap pada Disember 2026 bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan organisasi.

“Dengan itu, kami kekal komited memastikan setiap pelaburan memberi impak ekonomi dan sosial yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat,” kata Zulfikri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata syarikat pelaburan MARA, MARA Corporation Sdn Bhd mencatat pengurangan kerugian terkumpul yang ketara, mencerminkan penambahbaikan tadbir urus kewangan serta keberkesanan langkah rasionalisasi.

MARA Corp berjaya mengurangkan kerugian terkumpul kepada RM558.9 juta pada akhir 2025 daripada RM862.1 juta pada 2023.

“Oleh itu, kami menyasarkan untuk mengurangkan jumlah kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026 sebelum mencapai kedudukan keuntungan terkumpul pada 2027,” katanya.

Beliau berkata antara 2024 hingga 2025, MARA mencatat peningkatan hasil sebanyak 10 peratus daripada RM1.53 bilion kepada RM1.69 bilion, meskipun berdepan persekitaran makroekonomi yang mencabar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan