JENAYAH & MAHKAMAH

Kebakaran Rumah Atas Air: Pendawaian Haram, Kecuaian Sebabkan Kerugian Lebih RM150 Juta

05/05/2026 09:19 AM

KOTA KINABALU, 5 Mei (Bernama) -- Pendawaian elektrik tidak selamat dan sambungan haram menjadi ancaman utama penduduk rumah atas air di Sabah selain kecuaian penggunaan api yang menyumbang kepada kerugian mencecah RM156.07 juta pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Pisar Aziz berkata pelbagai faktor memburukkan lagi keadaan seperti penggunaan lilin, sumber api terbuka dan pembakaran berhampiran kediaman yang sangat berisiko tinggi.

Beliau berkata pembinaan struktur rumah kayu terlalu rapat juga menyebabkan api cepat merebak selain turut diburukkan dengan bahan binaan mudah terbakar dan laluan sempit di kawasan itu.

“Tahun lepas, kebakaran perumahan atas air meragut 15 nyawa dan mencederakan 51 individu. Kesedaran terhadap pemasangan alat pengesan asap dan pemadam api dalam kalangan penghuni juga masih rendah,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Mohd Pisar berkata JBPM sentiasa proaktif namun berhadapan kesukaran akses operasi akibat laluan sempit, kekurangan sumber air dan risiko pelantar tidak stabil yang turut membahayakan nyawa anggota.

Walaupun masa respons mematuhi piawaian, beliau berkata faktor akses fizikal boleh melambatkan tindak balas penyelamatan, menjadikan penting untuk penguatkuasaan garis panduan pembinaan lebih selamat diperkukuh dengan segera.

Beliau berkata langkah itu termasuk penyediaan laluan kecemasan khusus dan penggunaan bahan binaan tahan api serta kawalan ketat ke atas penyambungan utiliti yang perlu dilaksanakan tanpa kompromi.

Bagi membendung isu itu, Mohd Pisar berkata JBPM Sabah giat melaksanakan Kempen Keselamatan Kebakaran dari 2023 dengan kempen di zon Tawau, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu akan diperluas ke kawasan lain.

Selain itu, Program Sedia Urus Risiko Isirumah (SURI) antara inisiatif yang memfokuskan kepada golongan wanita melibatkan pelaksanaan 254 siri dengan 32,498 peserta berjaya dilatih dalam tempoh itu.

Mohd Pisar berkata sebanyak 50 pasukan Bomba Komuniti telah ditubuhkan melibatkan 500 ahli sebagai barisan penyelamat pertama serta pembinaan pusat Fire Point di beberapa perkampungan berisiko tinggi di Sabah.

Sementara itu, aktivis masyarakat Sabah Mohd Zaki Harry Susanto berkata kebakaran bukan lagi masalah terpencil tetapi secara langsung mencerminkan keperluan mendesak terhadap pembangunan bandar yang inklusif dan selamat.

Beliau berkata penempatan semula secara pukal bukan satu-satunya jalan keluar yang pragmatik kerana melibatkan kos yang besar dan memberi kesan sosial mendalam kepada penduduk.

“Pembangunan menaik taraf di lokasi asal secara berperingkat lebih praktikal dan realistik selain tindakan drastik membaiki sistem pendawaian elektrik dan memperluas jaringan pili bomba.

“Susun atur lorong perumahan juga perlu dirancang semula bagi mewujudkan laluan kecemasan yang terancang. Pemilik rumah wajib memberikan kerjasama penuh tanpa kompromi demi keselamatan komuniti,” katanya.

Mohd Zaki juga menyeru badan bukan kerajaan (NGO) membantu menyumbang kelengkapan asas kecemasan kerana ketiadaan tindakan menyeluruh hanya menyebabkan masyarakat terus berhadapan tragedi berulang.

Kebimbangan itu amat berasas memandangkan Sabah dikejutkan dua tragedi kebakaran berturut-turut, iaitu pada 19 April yang memusnahkan kira-kira 1,000 rumah di Kampung Bahagia menyebabkan lebih 9,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. 

Kurang dua minggu kemudian, kebakaran juga memusnahkan 30 rumah di Kampung Karamunting, Sandakan.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan