AM

Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi Tingkat Kelancaran Laluan Papar-Kota Kinabalu

04/05/2026 01:29 PM

PAPAR, 4 Mei (Bernama) -- Usaha meningkatkan kelancaran trafik di laluan Papar ke Kota Kinabalu diperkukuh dengan pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek berkenaan telah bermula dan dijangka siap 29 Mac 2028.

Beliau berkata projek itu antara infrastruktur utama yang telah lama dinanti-nantikan oleh penduduk setempat, dengan Surat Setuju Terima (SST) telah berkuat kuasa pada 30 Mac, manakala penyerahan simbolik kepada kontraktor diadakan hari ini.

“Sepatutnya perjalanan dari Papar ke Kota Kinabalu hanya mengambil masa sekitar 40 minit, namun ketika ini ia boleh mencecah satu setengah hingga dua jam walaupun di luar waktu puncak. Justeru, projek ini adalah penyelesaian kepada masalah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat status projek infrastruktur utama Parlimen Papar di Pejabat Daerah Papar di sini hari ini.

Beliau berkata projek menaik taraf Jalan Lok Kawi itu melibatkan pelebaran jalan daripada dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong dua hala, selain pembinaan jejantas pejalan kaki, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta penambahbaikan tiga persimpangan bulatan kepada persimpangan berlampu isyarat.

Armizan berkata turut termasuk dalam skop projek ialah pembinaan tiga perhentian bas dan dua hentian motosikal, laluan berbumbung ke sekolah serta kerja-kerja pengalihan utiliti dan pengambilan tanah.

Beliau berkata projek itu dibiayai oleh Kementerian Kerja Raya dan dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

Katanya antara keutamaan segera ialah penyelesaian isu pengambilan tanah melibatkan 43 lot serta 24 struktur sedia ada, selain pengalihan utiliti seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.

“Saya tidak mahu kelewatan dalam menyelesaikan perkara-perkara asas ini akan menyebabkan kerja-kerja fizikal tidak dapat dimulakan segera,” katanya.

Armizan berkata usaha untuk merealisasikan projek itu telah bermula sejak 2021 ketika beliau berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah, sebelum dimasukkan dalam senarai projek pembangunan Kerajaan Persekutuan pada 2023.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pelaksanaan projek berkenaan ketika lawatan kerja ke Kinarut, Papar pada 31 Mei 2023.

Pada sesi taklimat itu, beliau berkata projek berkenaan adalah sebahagian daripada empat projek infrastruktur utama yang dibincangkan melibatkan wakil rakyat serta agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Selain projek itu, tiga lagi projek yang turut diberi perhatian ialah pembinaan bypass Jalan Pengalat-Papar, pembinaan SMK Gana Papar serta cadangan pembinaan Jambatan Papar 2 di Kilometer 20.4.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan