DUNIA

Syarikat Minyak UAE Adnoc Percepat Pelan Pelaburan US$55 Bilion

04/05/2026 06:42 AM

ABU DHABI, 3 Mei (Bernama-Xinhua) -- Syarikat tenaga gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), memaklumkan pada Ahad bahawa ia mempercepatkan pelan pelaburannya untuk menganugerahkan projek bernilai 200 bilion dirham (kira-kira US$54.5 bilion) antara 2026 hingga 2028 sebagai sebahagian daripada program modal lima tahunnya, lapor Xinhua.

Pengumuman itu dibuat pada forum “Make it With ADNOC”, apabila syarikat berkenaan menyatakan langkah itu menandakan fasa baharu pelaksanaan projek yang diperluas merentasi rantaian nilai tenaga bagi memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.

ADNOC turut memaklumkan projek masa depannya akan membantu meningkatkan kecekapan sektor perindustrian domestik serta merangsang pembuatan dalam negara melalui inisiatif “Local+” yang memberi keutamaan kepada produk buatan UAE.

Ditubuhkan pada 1971, ADNOC dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Abu Dhabi dan merupakan antara syarikat tenaga terbesar di dunia.

Pengumuman itu dibuat susulan pengunduran hampir UAE daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pakatan lebih luas OPEC+, yang berkuat kuasa pada Jumaat, sekali gus menamatkan keanggotaan hampir 60 tahun negara itu selepas berdepan ketegangan berulang berhubung kuota pengeluaran.

Pengunduran itu, yang diumumkan UAE pada Selasa sebagai “pilihan berdaulat dan strategik” berdasarkan visi ekonomi jangka panjang negara, dijangka memberi ruang kepada UAE - yang dianggarkan mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 5 juta tong sehari menjelang 2027 - untuk melaraskan pengeluarannya secara bebas.

Penganalisis menganggarkan bahawa dengan pengunduran UAE, OPEC akan kehilangan kira-kira 15 peratus daripada jumlah kapasiti pengeluarannya.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan