ISTANBUL, 3 Mei (Bernama-Anadolu) -- Sebuah mahkamah Israel pada Sabtu melanjutkan tempoh tahanan selama dua hari terhadap Thiago de Avila dan Saif Abukeshek, dua sukarelawan di atas flotila bantuan menuju Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Pendakwa Israel memohon lanjutan tahanan selama empat hari terhadap aktivis Flotila Global Sumud berhubung dakwaan berkaitan keselamatan, menurut kenyataan Adalah, sebuah kumpulan advokasi Israel bagi rakyat Palestin di Israel.
Bagaimanapun, peguam mereka berhujah bahawa “keseluruhan proses perundangan itu pada asasnya cacat dan tidak sah,” menurut kenyataan berkenaan.
Tiada pertuduhan dikenakan terhadap kedua-dua aktivis itu dan mereka masih disoal siasat pada peringkat sebelum pendakwaan, menurut kumpulan itu.
“Kedua-duanya, de Avila dan Abukeshek akan dipindahkan semula ke pusat tahanan Shikma di Israel (Ashkelon), tempat mereka terus ditahan secara berasingan,” menurut kenyataan itu.
Aktivis berkenaan kini melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap penahanan yang didakwa tidak sah serta layanan buruk terhadap mereka.
Flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud diserang pada Khamis berhampiran sebuah pulau Greece, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka di Semenanjung Gaza yang terjejas akibat sekatan.
Kapal pertama flotila itu yang membawa bantuan kemanusiaan berlepas dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama bertolak dari pulau Sicily di Itali pada 26 April, dengan tujuan memecahkan sekatan Israel yang telah berlarutan selama bertahun-tahun ke atas Gaza.
Israel mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.
Tentera Israel melancarkan serangan selama dua tahun di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 yang lain serta menyebabkan kemusnahan besar di wilayah yang dikepung itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial