ISKANDAR PUTERI, 3 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Xisco Munoz enggan mendabik dada rekod jumlah jaringan terbanyak dalam semusim yang dicipta pasukannya pada Liga Super musim ini, sambil menyifatkannya sebagai sekadar angka.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata rekod 103 gol adalah hasil usaha berpasukan yang mencerminkan mentaliti serta komitmen pemain untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan, tanpa mengira keputusan atau jadual yang padat.
“Di sebalik angka ini, semua orang berusaha untuk memberikan yang terbaik,” katanya selepas perlawanan menentang KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam tadi.
JDT mencipta rekod baharu jumlah jaringan dalam satu musim dengan 103 gol selepas kemenangan 7-0 ke atas KL City FC.
Rekod itu dicapai dalam 23 perlawanan, sekali gus mengatasi rekod sebelumnya, iaitu 100 gol yang dicatatkan oleh Harimau Selatan dalam 26 perlawanan pada musim 2023.
Munoz berkata meskipun terpaksa menempuh jadual padat, anak buahnya tetap fokus untuk meningkatkan prestasi, dengan setiap pemain memberi sumbangan maksimum.
“Tidak kira sama ada anda menang 1-0 atau 2-0 dan anda bermain (dua perlawanan) dalam tempoh selang dua hari, semua orang cuba memberikan yang terbaik untuk lencana JDT,” katanya.
Menjelang aksi seterusnya, beliau berkata pasukan tetap tidak boleh leka, dengan baki dua perlawanan Liga Super serta pertembungan Kejohanan Kelab ASEAN menentang Buriram United dari Thailand.
Katanya beberapa pemain utama, termasuk penyerang Bergson Da Silva direhatkan sebagai sebahagian daripada penggiliran skuad untuk memastikan kecergasan optimum menjelang perlawanan akan datang.
Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC Risto Vidakovic menggesa pemainnya untuk kekal profesional dan menamatkan musim dengan bermaruah meskipun mengalami kekalahan besar.
Beliau berkata pasukan mesti kekal bermotivasi dan pada masa sama berbangga dengan apa yang telah dicapai, sambil menekankan pemain akhirnya bermain untuk diri mereka sendiri dan reputasi kelab.
“Saya berharap kami terus bersaing dengan bermaruah sehingga akhir. Saya fikir mereka perlu sedikit berbangga. Mereka tidak bermain untuk saya atau sesiapa pun, mereka bermain untuk diri mereka sendiri dan untuk nama kelab,” katanya.
Vidakovic mengakui bahawa insiden seperti kad merah menjejaskan perlawanan, menyumbang kepada kekalahan 7-0 tetapi menyifatkannya sebagai “kemalangan” yang boleh berlaku dalam bola sepak.
JDT terus menerajui carta Liga Super dengan 67 mata daripada 23 perlawanan, kekal tanpa kalah dan telah mengesahkan kejuaraan ke-12 berturut-turut, manakala KL City FC berada di tempat keempat dengan 42 mata daripada 22 perlawanan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial