Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 2 Mei (Bernama) -- Perancis semakin hampir mencipta sejarah selepas menewaskan juara 2022 India 3-0 pada aksi separuh akhir Piala Thomas hari ini, sekali gus mara ke final pertama mereka di Forum Horsens di sini esok.
Pencabar mereka untuk menjulang kejuaraan ialah juara bertahan China, yang menghampakan harapan penyokong tuan rumah dengan kemenangan 3-0 ke atas Denmark.
Perancis jelas menguasai permainan sejak awal apabila perseorangan utama yang juga pemain nombor empat dunia Christo Popov mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan pemain sedang meningkat naik India yang berada di ranking ke-18 dunia Ayush Shetty 21-11, 21-9 dalam masa hanya 39 minit.
Pemain nombor 10 dunia Alex Lanier kemudian mengukuhkan cengkaman Perancis dalam perlawanan itu apabila menundukkan pemain berpengalaman Kidambi Srikanth 21-16, 21-18 untuk meletakkan pasukannya dalam kedudukan kukuh.
Perseorangan ketiga Toma Junior Popov pula kekal tenang untuk menewaskan H.S. Prannoy 21-19, 21-16 dalam tempoh 48 minit, sekali gus membawa Perancis ke final.
Christo ketika ditemui selepas perlawanan berkata beliau gembira dengan prestasi pasukan, sambil memuji rakan sepasukan yang mempamerkan aksi kemas dan fokus.
“Ia adalah kejohanan yang sangat panjang dan secara mentalnya amat mencabar. Jadi, kami akan terus berusaha dan saya fikir semangat berpasukan kami sangat baik dan itu akan mendorong kami esok,” katanya.
Sementara itu, pemain nombor satu dunia Shi Yu Qi melakukan permulaan baik buat China apabila mengatasi pemain nombor tiga dunia dan pilihan tuan rumah Anders Antonsen, 21-16, 21-5.
Dalam perlawanan kedua, beregu utama China Liang Wei Keng-Wang Chang menjadikan kedudukan 2-0 apabila menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 21-18, 21-17 dalam tempoh 34 minit.
Pemain nombor tujuh dunia Li Shi Feng mengesahkan kemenangan China apabila bangkit menewaskan pemain nombor 41 dunia Magnus Johannesen 21-19, 18-21, 21-9 dalam tempoh 73 minit, sekali gus menempah slot ke final.
Shi Feng mengakui sokongan padu penyokong tuan rumah menambah tekanan, namun berkata beliau berasa lega kerana kekal tenang dalam permainan penentuan dan menamatkan perlawanan itu, sambil menambah pasukannya bersedia untuk menghadapi Perancis di pentas akhir.
Final Piala Thomas 2026, yang bermula pada 24 April akan berakhir esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial