KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Jaguh lontar peluru negara Jonah Chang Rigan berjaya memecahkan rekod kebangsaan miliknya di Kejohanan Melontar Asia 2026 di Mokpo, Korea Selatan hari ini.
Atlet kelahiran Sarawak itu melakukan lontaran sejauh 18.81 meter (m) sekali gus memadam rekodnya sendiri, 18.78m yang dilakukan pada tahun lepas ketika memenangi pingat emas Sukan SEA Thailand.
“Sepatutnya saya mampu mencapai 19m, tapi tidak mengapa. Saya akan cuba mencapainya di Terbuka Taiwan nanti,” kata Jonah menerusi video yang dikongsikan Olahraga Malaysia di Facebook hari ini.
Meskipun berjaya memecahkan rekod kebangsaan, lontaran Jonah gagal meletakkannya di kedudukan podium apabila sekadar berpuas hati di tempat kelima.
Pingat emas dan perak acara itu dimenangi atlet China, Chen Hongfei dan Chen Chengyu dengan masing-masing melakukan lontaran sejauh 20.18m dan 19.64m manakala gangsa menjadi milik atlet Kazakhstan Ivan Ivanov dengan lontaran 19.41m.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial