SANDAKAN, 2 Mei (Bernama) -- Sabah merekodkan 357 kes malaria monyet dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan satu kematian dilaporkan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata Ranau, Kudat dan Tawau dikenal pasti sebagai penyumbang utama kes itu di negeri ini.
“Ini agak serius, langkah penting ialah pengesanan awal dan rawatan segera. Semua klinik kesihatan dan hospital mempunyai keupayaan untuk mengesan kes malaria monyet ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan “Wellness Hub” Sandakan hari ini.
Beliau berkata kerjasama rapat daripada Jabatan Hidupan Liar serta Jabatan Perhutanan amat penting dalam menangani jangkitan malaria monyet yang berpunca daripada haiwan.
Malaria monyet atau malaria zoonotik ialah sejenis malaria yang ditularkan daripada monyet kepada manusia melalui gigitan nyamuk, dan lazimnya disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi.
Pada majlis sama, Dzulkefly berkata inisiatif pembangunan Wellness Hub dilihat sebagai pemangkin penting dalam usaha memperkasa ekosistem penjagaan kesihatan negara ke arah pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata inisiatif itu membantu komuniti membudayakan gaya hidup sihat dengan beralih daripada konsep mencari rawatan kepada mencegah sebelum sakit.
Beliau berkata keperluan pendekatan itu semakin mendesak apabila kerajaan kini menanggung kos pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang mencecah RM64.3 bilion setahun, iaitu melebihi keseluruhan bajet Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak RM46.52 bilion.
“Misalny, beban NCD di Sabah tidak kurang membimbangkan kerana jika diteliti data masalah obesiti (50.4 peratus), kolesterol tinggi (32.1 peratus), prevalens merokok (24.9 peratus) serta tingkah laku sedentari iaitu duduk atau berbaring dalam tempoh lama adalah sangat tinggi (57.7 peratus).
“Terdapat 38 Wellness Hub di negara ini, dengan lima di Sabah iaitu Sandakan, Lahad Datu, Kudat, Keningau dan Putatan, saya bercita-cita untuk paling tidak mengadakan satu Wellness Hub satu Parlimen, kita mahu ambil pendekatan menjaga sebelum sakit,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata Wellness Hub turut menjadi platform strategik dalam menangani isu bantut dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial