DUNIA

Iran Umum Peraturan Maritim Baharu Susulan Ketegangan Di Selat Hormuz

02/05/2026 06:20 PM

ISTANBUL, 2 Mei (Bernama-Anadolu) -- Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan “peraturan baharu” di kawasan pesisir pantai negara itu di Teluk Parsi dan Selat Hormuz, dengan menyatakan langkah berkenaan dibuat atas arahan Pemimpin Agung Mojtaba Khamenei, lapor Anadolu Ajansi dengan memetik penyiar tempatan.

Tentera Laut IRGC memaklumkan ia akan melaksanakan kawalan ke atas “hampir 2,000 kilometer (1,243 batu) garis pantai Iran” di kawasan itu, sekali gus menjadikan “perairan berkenaan sebagai sumber mata pencarian dan kekuatan bagi rakyat Iran serta sumber keselamatan dan kemakmuran bagi rantau itu,” menurut Press TV milik kerajaan pada Jumaat malam.

Tiada butiran lanjut didedahkan.

Ketegangan berkaitan Selat Hormuz terus memuncak apabila Tehran menyekat laluan di perairan strategik itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat-Israel yang bermula pada 28 Feb lepas.

Satu gencatan senjata diumumkan pada 8 April lepas menerusi pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan di Islamabad pada 11 hingga 12 April, namun tiada kata sepakat dicapai.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kemudiannya melanjutkan gencatan senjata itu secara unilateral tanpa menetapkan jangka masa baharu, atas permintaan Pakistan.

Sejak 13 April, Amerika Syarikat melaksanakan sekatan laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di laluan air berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan