AM

JPPKK Raih Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek AHIN 2026

02/05/2026 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) meraih Anugerah Khas Pemerkasaan Harta Intelek, pada Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2026 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

JPPK dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan bagi kategori kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan atau negeri dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu, hasil usaha berterusan jabatan dalam memperkukuh ekosistem harta intelek.

“Pengiktirafan ini hasil komitmen berterusan dalam memperkasakan ekosistem harta intelek secara strategik dan menyeluruh pada peringkat politeknik dan kolej komuniti (POLYCC). 

“Sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 1,525 produk telah berjaya difailkan dan didaftarkan sebagai harta intelek,” menurut kenyataan itu.

JPPKK memaklumkan pelbagai inisiatif berimpak tinggi dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan dan pemerkasaan harta intelek termasuk Bengkel Pendrafan Paten (Bimbingan Langsung), penganjuran Karnival Harta Intelek dan Forum Harta Intelek serta kolaborasi strategik melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Pada AHIN 2026, Kolej Komuniti Pagoh, Johor turut merangkul Pingat Emas bagi Kategori InoReka (Reka Bentuk Perindustrian), menerusi produk “Pouch Sampul Warisan” yang merupakan antara rangkaian produk komersial “Batu Seremban Game Kit” oleh kolej berkenaan.

Menurut kenyataan itu, produk tersebut yang mendapat sokongan dana TVET Applied Commercialisation Grant Scheme (T-ACGS) pada 2025, berjaya dikomersialkan dan mendapat sambutan baik di pasaran, membuktikan inovasi berasaskan warisan tempatan mampu memberi impak ekonomi.

Kenyataan itu memaklumkan pencapaian itu, selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, yang menekankan penekanan terhadap pembudayaan inovasi, pengkomersialan penyelidikan dan pengukuhan ekosistem bakat berteraskan teknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan