EKONOMI

Marine & General Lantik Abdul Hafidz Sebagai CEO Anak Syarikatnya Berkuat Kuasa 1 Mei

30/04/2026 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 30 April  (Bernama) -- Marine & General Bhd (M&G), syarikat perkhidmatan sokongan marin luar pesisir melantik Abdul Hafidz Abdul Rahman sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) anak syarikatnya, Jasa Merin (Malaysia) Sdn Bhd (JMM), berkuat kuasa 1 Mei, 2026.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan Abdul Hafidz menggantikan Mohd Noor Ismardi Idris, yang akan bersara selepas tamat tahun kewangan semasa, selaras dengan pelan peralihan kepimpinan berstruktur M&G.

“Pelantikan ini menandakan kemuncak inisiatif peralihan kepimpinan yang dirancang selama beberapa tahun dan diluluskan oleh lembaga pengarah pada 2022, yang direka bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan operasi jangka panjang merentasi segmen huluan dan hiliran kumpulan itu.

“Di bawah struktur baharu ini, Abdul Hafidz akan memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas JMM dan terus menyelia kedua-dua segmen itu dengan sokongan pasukan kepimpinan operasi yang diperkukuh,” jelas kenyataan itu.

Abdul Hafidz menyertai M&G pada 2018 dan telah memegang beberapa jawatan kepimpinan utama sejak 2022, termasuk Ketua Pegawai Operasi Segmen Hiliran JMM dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif JMM.

Bagi melengkapi dan menyokong ketua pegawai eksekutif yang baharu itu, M&G turut mengumumkan pelantikan Ahmad Khairuddin Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi Segmen Huluan JMM dan Badzanishah Shahrom sebagai Ketua Pegawai Operasi Jasa Merin (Labuan) Plc.

“Secara bersama, pasukan kepimpinan ini mewakili kumpulan eksekutif berpengalaman yang telah dilatih secara sistematik dalam M&G sejak beberapa tahun kebelakangan lalu dan berada pada kedudukan yang baik untuk memacu kecemerlangan operasi dan kesinambungan strategik dalam jangka panjang,” menurut M&G.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif M&G Tan Sri Mohd Azlan Hashim berkata peralihan kepimpinan ini mencerminkan kekuatan kerangka perancangan penggantian M&G dan komitmennya terhadap pembangunan bakat dalaman.

“Kami yakin pasukan ini akan meneruskan asas kukuh yang telah dibina oleh Mohd Noor Ismardi, yang mana kepimpinan dan sumbangan beliau selama ini telah menjadi nadi kepada pertumbuhan kumpulan.

“Peralihan ini meletakkan kumpulan pada kedudukan yang baik untuk kestabilan kepimpinan yang mampan dalam tempoh dekad akan datang, sekali gus memperkukuh hala tuju strategik jangka panjang kami,” tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan