KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Bina Darulaman Bhd (BDB) menyasarkan pengukuhan perniagaan teras serta disiplin pengoperasian tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pemulihannya yang menyeluruh.
Langkah itu bertujuan untuk mengembalikan keuntungan, meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan membina asas lebih berdaya tahan bagi pertumbuhan jangka masa panjang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Che Abdul Khalid Md Din berkata BDB kini memberi penekanan kepada pengukuhan empat segmen perniagaan teras iaitu pembinaan jalan dan kuari, hartanah, kejuruteraan dan pembinaan (E&C) serta perniagaan rekreasi bagi pemulihan dan pertumbuhan mampan syarikat.
“BDB turut memberi tumpuan kepada kekuatan perniagaan teras, memperkasakan pengurusan kos secara lebih disiplin serta melaksanakan strategi lebih berimpak tinggi dalam setiap peluang perniagaan yang diterokai bagi memastikan pulangan yang lebih baik.
“Matlamat utama bukan sahaja untuk mengembalikan BDB kepada landasan keuntungan malah juga memastikan syarikat mempunyai asas perniagaan yang lebih kukuh untuk pertumbuhan jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata BDB akan mempergiat usaha meneroka peluang perniagaan baharu merangkumi projek sektor awam dan swasta di samping menjalinkan kerjasama strategik, termasuk dengan kumpulan syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Che Abdul Khalid berkata BDB kini bukan sahaja berperanan sebagai pemaju perumahan, malah juga mengembangkan penglibatan dengan menyediakan infrastruktur kawasan perindustrian sekali gus memperkukuh portfolio dalam segmen E&C.
“BDB akan lebih agresif dalam mendapatkan projek berkualiti serta memastikan setiap projek dilaksanakan dengan kawalan kos dan disiplin operasi yang tinggi. Pada masa sama, kami komited memperkukuh hubungan dengan pemegang taruh bagi membina keyakinan berterusan terhadap hala tuju BDB.
“Dalam segmen pembangunan hartanah, BDB akan terus memberi fokus kepada projek sedia ada termasuk di Darulaman Saujana, Hosba, Aman Nusa, Langkawi serta Bandar Darulaman, Jitra. Selain itu, pembangunan terbaharu ‘Darulaman Commercial District’ dijangka menjadi pemacu pertumbuhan yang akan menyumbang kepada pendapatan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan memperhebat usaha pengoptimuman aset strategik termasuk Darulaman Sanctuary dan The LAB di Langkawi, serta aset pelancongan seperti Fantasia Aquapark.
“Usaha memperkasakan serta mempelbagaikan tarikan di Darulaman Park juga dijangka menyumbang prestasi positif kepada segmen rekreasi tahun ini,” katanya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 BDB mencatatkan kerugian bersih RM16.8 juta yang dipengaruhi oleh beberapa faktor utama termasuk kelewatan dalam pelancaran projek hartanah serta tekanan margin yang berpunca daripada beberapa projek infrastruktur yang menghampiri fasa siap.
Bagaimanapun, perolehan syarikat itu melonjak kepada RM330.71 juta daripada RM294.74 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial