EKONOMI

Imperio Group Bawa Cold Storage Pertama Di Kedah

30/04/2026 03:08 PM

ALOR SETAR, 30 April (Bernama) -- Pasar raya premium, Cold Storage meluaskan rangkaiannya melalui pembukaan rasmi cawangan baharu di The Tenz Emporium di sini pada Khamis, sekali gus merancakkan lagi landskap ekonomi dan gaya hidup komuniti bandar raya ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Imperio Group, Lee Woei Nen berkata cawangan itu menjadi penyewa utama di The Tenz Emporium, pusat gaya hidup yang terletak di dalam bangunan ikonik, bekas panggung wayang Tai Kuan yang telah dipulihkan,

“Transformasi ini selari dengan momentum peningkatan minat komersial terhadap Alor Setar, apabila pihak pemaju dan peruncit kini melihat bandar raya ini sebagai pasaran yang berdaya maju.

“Saya percaya pasar raya ini dapat meningkatkan dan memacu lagi ekonomi Alor Setar,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi Cold Storage di Simpang Kuala di sini, hari ini.

Pembukaan yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar Datuk Abdul Gafar Yahya itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail Sdn Bhd, Cheah Yong Hock.

Imperio Group merupakan syarikat yang bertanggungjawab membawa Cold Storage pertama di Kedah.

Sementara itu, Abdul Gafar berkata Alor Setar sering dianggap sebagai pasaran sekunder yang hanya menunggu giliran untuk menerima limpahan pembangunan, bagaimanapun bandar raya ini mempunyai keupayaan serta daya saing yang jauh lebih hebat.

“Seiring dengan itu, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah memperkenalkan New Approval for Development Initiative’ (NADI) yang memudahkan proses kelulusan pembangunan yang sebelum ini mengambil masa selama 99 hari dan kini hanya 27 hari sahaja.

“Kita sentiasa menyambut baik pelaburan yang bertanggungjawab dan memberi nilai tambah kepada rakyat. Kehadiran Cold Storage di The Tenz Emporium ini mencerminkan transformasi landskap bandar Alor Setar yang dijangka menjadi nadi utama kepada penduduk setempat,” katanya.

Cheah pula berkata pembukaan Cold Storage cawangan kelima di Malaysia itu didorong oleh permintaan masyarakat dan pihaknya menawarkan produk segar serta rangkaian produk jenama global yang premium.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan