PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Perkhidmatan saringan kesihatan termasuk pengambilan darah di farmasi komuniti hanya boleh dilaksanakan di fasiliti kesihatan yang berdaftar dan berlesen selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan hari ini pengambilan darah atau phlebotomy merupakan prosedur klinikal yang memerlukan pematuhan ketat terhadap standard keselamatan serta pengurusan risiko yang sewajarnya.
Menurut KKM, merujuk Seksyen 2 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586], sebarang premis yang menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, termasuk pengambilan darah tertakluk kepada keperluan pendaftaran serta pelesenan di bawah akta berkenaan.
"Oleh itu, berdasarkan kepada kerangka perundangan sedia ada, premis yang menjalankan aktiviti pengambilan darah disifatkan menyediakan perkhidmatan jagaan kesihatan yang tertakluk kepada keperluan pendaftaran dan pelesenan bawah Akta 586.
"Menjalankan perkhidmatan ini tanpa pendaftaran atau lesen sah di bawah Akta 586 adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KKM mengiktiraf peranan penting farmasi komuniti dalam menyumbang kepada ekosistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, namun aspek keselamatan, kualiti dan akauntabiliti perkhidmatan perlu sentiasa diutamakan.
Sehubungan itu, kementerian memaklumkan akan terus mempertingkat penguatkuasaan bagi memastikan semua perkhidmatan jagaan kesihatan dijalankan di premis fasiliti kesihatan yang mematuhi ketetapan undang-undang.
Langkah tersebut, menurut KKM, bukan sahaja bertujuan melindungi keselamatan pesakit, malah mengelakkan farmasi komuniti daripada berdepan risiko undang-undang serta reputasi sekiranya menjalankan perkhidmatan tanpa kelulusan sewajarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial