SUKAN

Piala Thomas: Denmark Ke Suku Akhir Biarpun Tewas Kepada Taiwan

30/04/2026 09:26 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

HORSENS (Denmark), April 29 (Bernama) -- Denmark berjaya mengesahkan tempat di suku akhir Piala Thomas 2026 biarpun tewas 2-3 kepada Taiwan dalam aksi dramatik Kumpulan C di Forum Horsens, malam Rabu.

Skuad tuan rumah hanya memerlukan satu mata untuk mengekalkan peluang ke kelompok lapan terbaik, dan mereka berjaya melakukannya pada saat paling kritikal.

Pemain ketiga dunia Anders Antonsen muncul wira untuk menyempurnakan tanggungjawab berat itu dengan menyumbang mata berharga buat tuan rumah, sekali gus terus bernyawa pada edisi kali ini, menewaskan Chou Tien Chen 21-14, 13-21, 21-15 dalam 82 minit pertarungan.

Kemenangan itu turut menyaksikan Antonsen menyamakan rekod pertemuan dengan Tien Chen kepada 8-8.

“Perlawanan ini luar biasa, sangat sengit dan sentiasa sukar apabila bertemu Tien Chen. Saya juga gembira dapat memastikan tempat ke suku akhir,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Taiwan jelas tidak mahu memberi laluan mudah kepada pasukan tuan rumah apabila beregu utama mereka Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin menundukkan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-7, 22-20 untuk menyamakan kedudukan.

Denmark kembali di depan menerusi perseorangan kedua Magnus Johannesen, yang mencipta kejutan menewaskan juara All England 2026 Lin Chun-Yi 21-17, 16-21, 21-19.

Taiwan sekali lagi mengikat kedudukan menerusi pasangan Liu Kuang Heng-Yang Po-Hsuan yang menewaskan Kim Astrup-Mathias Christiansen 24-22, 21-17 untuk menjadikan 2-2.

Dalam perlawanan penentuan, Chi Yu Jen tampil tenang mengharungi pertarungan tiga set sebelum menewaskan Ditlev Jaeger Holm, 21-11, 9-21, 27-25, sekali gus membawa Taiwan ke suku akhir selaku juara Kumpulan C, manakala Denmark sebagai naib juara kumpulan.

Sementara itu, kemenangan bergaya 5-0 Korea Selatan ke atas Sweden tidak mencukupi untuk memintas Denmark dalam kedudukan akhir kumpulan.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke suku akhir Piala Thomas 2026 yang berlangsung hingga 3 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan