KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Shopee melancarkan inisiatif Shopee Lindung Niaga bernilai RM150 juta bagi memperkukuh daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia melalui sokongan menyeluruh melibatkan penghantaran, modal kerja serta pemenuhan pesanan.
Dalam kenyataan hari ini, platform e-dagang itu memaklumkan bahawa inisiatif berkenaan mencerminkan pendekatan seimbang dalam menyokong pengguna dan PMKS ketika berdepan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar dan berubah-ubah.
“Dengan menggabungkan sokongan segera serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur dan alatan perniagaan, Shopee berhasrat memperkukuh ketahanan jangka panjang perniagaan, di samping memastikan akses dan nilai yang konsisten kepada pembeli.
“Shopee Lindung Niaga memberi tumpuan kepada sokongan operasi jangka pendek serta pembangunan keupayaan jangka panjang bagi memastikan PMKS kekal berdaya saing,” menurut kenyataan itu.
Melalui inisiatif ini, Shopee memperkukuh aktiviti transaksi melalui gabungan langkah logistik dan sokongan bersasar, termasuk pengenalan baucar penghantaran percuma tanpa perbelanjaan minimum.
Langkah itu dijangka mengekalkan akses kepada barangan keperluan harian, merangsang permintaan serta menyokong kadar penukaran jualan penjual.
Shopee turut memperluas sokongan bagi kategori barangan besar dan bernilai tinggi seperti perabot dan perkakas rumah melalui baucar penghantaran bersasar, sekali gus mengurangkan beban kos logistik dan meningkatkan akses pembelian kepada pengguna.
Selain itu, platform berkenaan memudahkan akses kepada penyelesaian modal kerja melalui kerjasama dengan Monee, di samping memperkukuh keupayaan pemenuhan pesanan bagi meningkatkan fleksibiliti operasi penjual.
Shopee turut memperluas penggunaan perkhidmatan Fulfilled by Shopee, membolehkan lebih ramai penjual memanfaatkan kemudahan pergudangan dan logistik bagi memperkemas operasi perniagaan.
“Selain sokongan segera, Shopee terus melabur dalam penyelesaian berasaskan teknologi seperti Chat AI Assistant, Product AI Optimiser dan AI Model Try-On bagi meningkatkan kecekapan, menjimatkan masa serta memperkukuh pengurusan perniagaan jangka panjang,” menurutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial