SUKAN

Piala Uber: Xin Yee Perlu Lebih Sabar Bersama Thinaah - Rexy

28/04/2026 11:39 PM

HORSENS (Denmark), 28 April (Bernama) -- Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky mahu pemain beregu wanita muda negara Ong Xin Yee lebih sabar ketika beraksi bersama pemain berpengalaman dan ketua pasukan M. Thinaah pada saingan akhir Piala Uber 2026 di sini.

Selepas meneliti dua aksi Kumpulan B yang ditampilkan mereka sebelum ini, Rexy berkata pemain berusia 19 tahun itu juga perlu mengawal emosi ketika turun beraksi di Forum Horsens bersama Thinaah.

“Pemain yang berpasangan dengan Thinaah pasti ada hormat samanya. Xin Yee sememangnya harus belajar cara bermain dengan pemain tahap tinggi.

“Tidak perlu mahu tamatkan (terburu-buru) cepat atau sebagainya, perlu lebih sabar dan tidak emosi,” katanya ketika ditemui di sini.

Semalam, Xin Yee-Thinaah tewas 9-21, 9-21 kepada pasangan nombor enam dunia Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam perlawanan kedua menentang Jepun. 

Jepun, yang juga juara enam kali menjuarai Kumpulan B selepas menewaskan Malaysia 4-1, sekali gus menyaksikan pasukan negara menamatkan saingan kumpulan selaku naib juara.

Xin Yee-Thinaah turut tumpas 22-20, 19-21, 19-21 kepada pasangan Bengisu Ercetin-Nazlican Inci dari Turkiye pada aksi pembukaan Kumpulan B pada Sabtu lepas. 

Namun, Malaysia berjaya menang tipis 3-2 ke atas Turkiye.

Malaysia kemudian mengesahkan tempat ke suku akhir buat kali pertama selepas 16 tahun dengan membenam Afrika Selatan 5-0 pada Ahad lepas.

Dalam pada itu, Rexy kagum dengan impak positif dicetuskan beregu wanita muda negara Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan apabila muncul satu-satunya wakil negara menyumbang mata dalam perlawanan menentang Jepun.

Zi Yu-Noraqilah yang menduduki ranking ke-143 pula mengejutkan pasangan nombor tujuh dunia Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-17, 12-21, 21-19 dalam perlawanan keempat.

Rexy berkata Zi Yu-Noraqilah membuktikan mereka mampu menyinar buat skuad negara yang berjuang tanpa kelibat pemain utama dan pasangan asal Thinaah, Pearly Tan selepas menarik diri daripada kejohanan berprestij itu susulan kecederaan belakang baru-baru ini.

“Pemain muda seperti Zi Yu bersama Noraqilah tidak terpengaruh dengan kekurangan pemain berpengalaman.

“Mereka mampu sumbang satu mata dan ini satu hasil yang positif. Kredit harus diberikan kepada mereka,” katanya.

Sabtu lepas, Zi Yu-Noraqilah mencuri tumpuan apabila menyelamatkan maruah Malaysia dengan menyumbang mata kemenangan ke atas Turkiye selepas mengatasi Yasemen Bektas-Zehra Erdem 21-18, 21-19.

Saingan akhir Piala Uber 2026 yang bermula 24 April akan berlangsung sehingga 3 Mei ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan