ALOR SETAR, 28 April (Bernama) -- Polis berjaya menahan suspek yang dipercayai memukul isterinya sehingga mengalami keguguran di Ambangan Heights dekat sini dalam kejadian minggu lepas di sekitar bandar raya itu hari ini.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata suspek yang berusia 43 tahun akan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani esok untuk permohonan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Satu sidang media berkaitan penahanan suspek akan dibuat esok di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial seorang penjawat awam berusia 39 tahun cedera dipercayai dipukul suaminya sehingga kandungannya gugur selain turut mengalami kecederaan pada tangan, patah jari kiri dan lebam pada muka.
Lelaki itu juga didakwa melarikan barang kemas dan wang simpanan isterinya di bank berjumlah hampir RM50,000.
Suspek dikatakan lelaki sama yang dicari polis Johor sebelum ini bagi membantu siasatan kes Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana memukul isterinya Jahidah Nordin sehingga koma pada 2021.
Jahidah yang sebelum ini juga bekerja sebagai penjawat awam kini dilaporkan hanya terbaring kaku dan bergantung pada susu yang diberi melalui tiub.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial