ARAU, 28 April (Bernama) -- Polis mengesahkan telah menahan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan kes kematian bayi perempuan berusia lapan bulan akibat pendarahan otak di Taman Seri Wang di sini, 15 April lepas.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata suspek berusia 35 tahun itu ditahan pada 2.30 petang 16 April, namun dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.
“Pengasuh wanita itu dilepaskan dengan jaminan polis pada hari sama dia ditahan hingga 16 Jun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada 3.08 petang 22 April lepas, semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Ahmad Mohsin berkata hasil bedah siasat mendapati kecederaan mangsa disebabkan daya trauma tumpul pada bahagian kepala.
“Penentuan umur pendarahan subdura tersebut boleh dilakukan dalam ujian histopatologi yang akan mengambil masa beberapa minggu,” katanya.
Ahmad Mohsin berkata pada 7 April lepas, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada hidung dan dahi anaknya semasa mengambil mangsa di rumah pengasuh berkenaan.
Beliau berkata pengasuh mendakwa mangsa terjatuh dan terkena rak televisyen ketika bermain bersama anaknya yang berusia enam tahun, tetapi tidak dibawa ke klinik untuk rawatan kerana bayi berkenaan kelihatan aktif dan sihat.
Katanya, pada 15 April lepas, pengasuh telah menghubungi ibu mangsa memaklumkan bayinya dalam keadaan lesu dan tidak bermaya.
“Ibu mangsa bergegas ke rumah pengasuh dan melihat anaknya dalam keadaan kekejangan lalu dibawa ke Unit Kecemasan Klinik Kesihatan Arau sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan HTF Kangar serta ke HSB untuk pembedahan,” katanya.
Ahmad Mohsin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial