AM

Maxim, Zlata Jalin Kerjasama Perluas Liputan Insurans Kepada Pemandu E-Hailing

28/04/2026 05:36 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Maxim E-hailing Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Zlata, sebuah agensi insurans di bawah Kumpulan Sejamas, bagi memperluaskan liputan insurans dalam kalangan pemandu e-hailing di seluruh negara.

Maxim menerusi kenyataan memaklumkan kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat berkenaan untuk memperkukuh perlindungan terhadap pemandu melalui akses kepada penyelesaian insurans yang disesuaikan khusus untuk sektor mobiliti gig.

Menerusi kerjasama itu, polisi insurans yang ditawarkan direka khas melindungi pemandu e-hailing merangkumi insiden yang berlaku ketika menuju untuk mengambil penumpang, semasa perjalanan atau ketika melengkapkan pesanan.

“Sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan kepada pemandu atau kerosakan kenderaan yang berkaitan dengan aktiviti e-hailing, pemandu akan menerima pampasan tanpa perlu menanggung sendiri kos yang boleh mencecah ribuan ringgit,” menurut kenyataan itu.

Maxim memaklumkan Zlata juga akan bertindak sebagai pusat sokongan sehenti dengan menyelaras perkhidmatan tunda, menyediakan dokumen tuntutan insurans serta berurusan dengan syarikat insurans bagi meminimumkan tempoh kenderaan tidak dapat digunakan selepas kemalangan.

Menurut kenyataan itu, bagi meningkatkan aksesibiliti Zlata turut memperkenalkan skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL), yang membolehkan pemandu mendapatkan perlindungan tanpa perlu membuat bayaran penuh awal, sekali gus menjadikan insurans lebih mampu milik untuk rakan-pemandu platform.

Selain itu, setiap pemandu yang membeli polisi melalui kerjasama itu juga akan menerima bateri kereta percuma lengkap dengan jaminan.

“Jangka hayat purata bateri di bawah penggunaan intensif e-hailing adalah antara 18 hingga 24 bulan, bersamaan jarak perjalanan 50,000 hingga 70,000 kilometer (km).

“Sokongan ini dapat mengurangkan perbelanjaan tahunan pemandu sebanyak RM200 hingga RM400 selain bateri akan dipasang oleh juruteknik terlatih, sekali gus mengelakkan gangguan operasi akibat pemasangan yang tidak betul,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pematuhan Undang-Undang dan Perhubungan Kerajaan Maxim Mushfique Ahmed Chowdhury dalam kenyataan sama berkata keselamatan dan kesejahteraan pemandu kekal sebagai keutamaan utama syarikat.

“Kerjasama ini membolehkan kami bekerjasama dengan penyedia insurans berpengalaman untuk menawarkan penyelesaian yang lebih fleksibel dan relevan, selari dengan realiti pekerjaan gig,” katanya.

Kenyataan itu menyebut Maxim dan Zlata juga sedang meneroka inisiatif jangkauan dan pendidikan yang disasarkan bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman pemandu mengenai manfaat insurans.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan