AM

Projek RTS Link Berjaya Jalani Ujian Percubaan Pelbagai Tren Berkelajuan Tinggi

27/04/2026 07:42 PM

JOHOR BAHRU, 27 April (Bernama) -- Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mencapai kemajuan teknikal penting susulan kejayaan menjalani ujian percubaan pelbagai tren berkelajuan tinggi pada 24 April lepas yang merupakan satu langkah utama dalam fasa ujian kritikal dan pentauliahan.

Pengendali projek, RTS Operations Pte Ltd (RTSO) menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan ujian percubaan tersebut melibatkan pengendalian pelbagai tren secara serentak pada kelajuan tinggi untuk menguji infrastruktur teras dan sistem keselamatan di bawah protokol yang ketat.

"Kami berjaya mengendalikan pelbagai tren secara serentak pada kelajuan tinggi sambil menguji sistem utama seperti brek regeneratif.

“Ia merupakan sebahagian daripada ujian percubaan menyeluruh, dengan lebih banyak akan dijalankan pada masa depan ketika kami terus memperkukuh keselamatan dan prestasi sistem," maklum RTSO.

Projek itu merupakan pembangunan penting bagi kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik setiap hari merentasi Tambak Johor untuk bekerja.

RTS Link yang dijadual mula beroperasi pada Januari 2027, akan mempunyai kapasiti mengangkut sehingga 10,000 penumpang sejam ke setiap hala, menghubungkan Bukit Chagar di Johor dan Woodlands Utara di Singapura dalam masa kira-kira lima minit.

Perkembangan terbaharu ini adalah susulan daripada jaminan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada 3 April lepas yang menyatakan bahawa krisis bekalan global tidak menjejaskan kemajuan atau kos projek tersebut termasuk pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan Stesen Bukit Chagar.

Loke berkata kerja fizikal pembinaan stesen dan kompleks itu berada di peringkat akhir dan dijangka  mula beroperasi sepenuhnya awal tahun depan mengikut jadual.

RTS Link kini memasuki fasa yang sangat penting dan kritikal, iaitu pengujian dan pentauliahan, termasuk pemasangan sistem, pengujian penerimaan, integrasi dan pengujian dinamik, yang akan membawa kepada peringkat Kesediaan Lapangan Akhir (FFR) yang dijangka pada September ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan