KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menggesa perniagaan tempatan supaya fokus terhadap pelaksanaan dan bukan sekadar cita-cita inovasi kerana kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain yang berkembang pesat memendekkan tempoh masa diperlukan untuk menukarkan idea kepada hasil praktikal yang sedia untuk pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil ketika berucap di Forum Inovasi Ekonomi Digital baru-baru ini berkata walaupun banyak organisasi sudah menganggap masing-masing telah bersedia untuk inovasi, cabaran lebih besar sekarang ialah melaksanakan, menskrol dan mengkomersialkan penyelesaian dengan pantas untuk kekal berdaya saing.
Beliau berkata isunya bukanlah kekurangan idea tetapi jurang pelaksanaan terutamanya apabila AI mempercepatkan rentak perubahan.
Banyak perniagaan sudah mempunyai rangka kerja inovasi, bagaimanapun masih bergelut untuk mengubah hasrat menjadi hasil dengan kelajuan dan impak yang mencukupi, katanya.
Menurut MDEC, satu kajian oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menunjukkan bahawa 70 peratus korporat sudah bersedia untuk inovasi, manakala 44 peratus telah pun mempunyai proses inovasi berstruktur.
Bagaimanapun, sebanyak 65 peratus masih menghadapi kekangan bakat, keupayaan atau modal, manakala purata pendapatan diperuntukkan kepada inovasi kekal pada hanya 0.85 peratus, menggariskan kesukaran untuk menterjemahkan kesediaan kepada hasil.
Dalam pada itu, Anuar turut berkata perniagaan tidak lagi boleh bergantung pada kitaran inovasi tradisional kerana AI memendekkan jurang antara kemunculan dan penerimaan dengan ketara.
“Apa yang dahulunya mengambil masa bertahun-tahun, kini hanya dalam beberapa minggu, memerlukan perniagaan dan institusi untuk respons dengan lebih pantas dan jelas. Berlatarbelakangkan ini, MDEC membantu merapatkan jurang antara idea dan hasil dengan menyatukan dasar, industri, inovasi, modal dan bakat,” katanya.
Anuar berkata peranannya adalah untuk membantu organisasi mengenal pasti cabaran, mendapatkan penyelesaian, mengesahkannya, melaksanakannya dan menyokong penguatan dan pengkomersialannya merentasi sektor seperti perkhidmatan kewangan, hartanah, infrastruktur, penjagaan kesihatan, utiliti dan teknologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial