AM

Anugerah Pendidik Global 2026 Sasar 1,000 Penyertaan Daripada 80 Negara

26/04/2026 04:52 PM

TANJONG MALIM, 26 April (Bernama) -- Anugerah Pendidik Global (GEA) 2026 menyasarkan 1,000 penyertaan daripada 80 negara dengan penambahan kategori pemenang berbanding tahun lepas. 

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata program anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menerima 578 pencalonan daripada 58 negara pada edisi sulungnya pada 2025, yang turut mendapat pengiktirafan di peringkat global.

“Para pendidik di seluruh dunia akan menghantar pencapaian dan apa yang mereka lakukan dan di situ akan dipilih antara mereka yang terbaik. Pada masa sama, kami dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat antarabangsa tentang sistem pendidikan Malaysia.

“Mereka bukan hanya datang untuk menerima apa yang disebut sebagai GEA tetapi mereka akan didedahkan dengan lawatan ke sekolah-sekolah untuk melihat bagaimana model pendidikan negara kita. Bila pulang ke negara masing-masing, mereka akan melihat bagaimana model itu dapat dilaksanakan di peringkat negara mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Penutupan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 dan Majlis Prapelancaran GEA 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

Dalam pada itu, penganjuran GEA 2026 kali ini menawarkan geran kewangan berjumlah USD60,000 (RM237,907.32) sebagai galakkan penyertaan yang berkualiti dalam memperkasa pendidikan untuk berinovasi dan memberi impak kepada masyarakat.

GEA 2026 juga mempertandingkan 10 kategori merangkumi pelbagai dimensi kecemerlangan pendidikan seperti inovasi digital, pendidikan inklusif, kelestarian dan kolaborasi global.

Tahun lepas, antara pengisian utama ialah Persidangan Agung Guru, Forum Pendidikan Nilai MADANI, sesi perkongsian oleh finalis GEA serta lawatan fakulti dan sekolah bagi para pendidik antarabangsa untuk meninjau amalan pendidikan tempatan.

Selain Malaysia, antara negara yang menyertai tahun lepas adalah Rusia, Australia, Argentina, Afrika Selatan, India, Iran, Pakistan dan Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan