AM

PM Anwar Mahu Keutamaan Diberikan Kepada Penyelesaian Segera Masalah Rakyat

25/04/2026 06:21 PM

BUKIT MERTAJAM, 25 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu keutamaan diberikan kepada penyelesaian segera masalah setempat yang kritikal, khususnya melibatkan pertanian, saliran, tebatan banjir, pendidikan dan kesihatan di Seberang Perai Tengah.

Perkara itu dinyatakan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seberang Perai Tengah, di sini hari ini.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata perkara sedemikian tidak boleh ditangguh dan setiap kelewatan membawa kesan kepada kehidupan rakyat yang menunggu penyelesaian.

“Maka, penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mesti diperkemas agar setiap keputusan diterjemah kepada tindakan yang tuntas.

“Justeru, saya menetapkan tempoh dua minggu untuk semua pihak melaporkan perkembangan dan tindakan susulan terhadap setiap keputusan yang telah dipersetujui kerana akhirnya ukuran sebenar bukan pada apa yang kita umumkan, tetapi pada apa yang benar-benar berubah di lapangan. Rakyat berhak melihat perubahan itu bukan nanti, tetapi sekarang,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata mesyuarat berkenaan juga bertujuan memastikan dasar yang diumumkan sepanjang tiga tahun lepas benar-benar dilaksanakan dengan berkesan, dan memenuhi keperluan rakyat setempat.

Mesyuarat turut meneliti pelaksanaan inisiatif yang memberikan kesan langsung kepada rakyat, termasuk pembasmian kemiskinan tegar, baik pulih gerai penjaja, SejaTi MADANI, Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI, projek khas ekonomi negeri serta aspek keselamatan di Seberang Perai Tengah.

“Saya tegaskan kepada pegawai daerah dan pasukannya supaya memberikan keutamaan penuh kepada pembangunan 30 bilik darjah baharu di 10 sekolah di daerah ini, dan memastikan pelaksanaannya disegerakan tanpa sebarang kelewatan agar kemasukan murid tahun satu pada tahun hadapan berjalan lancar,” kata beliau.

Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah berpuas hati dengan angka di atas kertas.

“Laporan kemiskinan tegar sifar mesti terus disemak di lapangan bersama pemimpin setempat agar tidak ada keluarga yang tercicir. Begitu juga penurunan kadar jenayah, perlu dipastikan berpunca daripada keberkesanan tindakan, bukan kelemahan penguatkuasaan," kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan