JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Serbu Premis Simpan Karkas Babi Tanpa Kelulusan Sembelihan Sah

24/04/2026 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Polis menyerbu sebuah premis pengedaran makanan sejuk beku di Skudai, Johor hari ini kerana disyaki menyimpan karkas daging babi tanpa kelulusan sembelihan sah.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata serbuan pada 10.30 pagi menemukan sejumlah karkas daging babi sejuk beku dengan dokumen penyembelihan meragukan.

Beliau berkata daging itu disyaki tidak disembelih di rumah sembelihan diluluskan atau dilesenkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, iaitu kesalahan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.

“Sebanyak 22 karkas daging babi dengan anggaran berat 1,058 kilogram dirampas dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM63,486,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zaki berkata pihaknya menahan tujuh individu terdiri daripada enam lelaki Nepal dan seorang wanita tempatan yang juga pemilik premis.

“Kesemua warga Nepal ditahan atas kesalahan menyalahgunakan atau melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala pemilik premis kerana menggaji pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 manakala tindakan pelanggaran peraturan penyembelihan dilakukan Jabatan Veterinar.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan