AM

Memorandum Isu Kembalikan Gajah Akan Diserahkan Kepada Pihak Pengurusan Zoo Taiping - NRES

24/04/2026 07:17 PM

PUTRAJAYA, 24 April (Bernama) -- Memorandum berkaitan isu pengembalian tiga gajah bernama Dara, Amoi dan Kelat akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) untuk diteliti dan diperhalusi.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu berada di bawah bidang kuasa ZTNS dan sebahagian daripada kerjasama rasmi antara zoo berkenaan dengan Tennoji Zoo Osaka di Jepun.

“NRES telah menerima memorandum daripada aktivis sosial Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara berkaitan isu ini.

“Memorandum itu akan dipanjangkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Mohamed Akmal Dahalan dan pihak pengurusan ZTNS memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa ZTNS,” menurut kenyataan itu.

NRES memberitahu memorandum berkenaan telah diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) NRES Datuk Mas Rizal Mohd Hilmi, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Mohd Azman Mohd Ariffin, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Datuk Fakhrul Hatta Musa dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan S. Siva Kumar di bangunan NRES hari ini.

Media melaporkan sekumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan menggesa kerajaan membawa pulang gajah milik negara, iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke Tennoji Zoo Osaka ekoran didakwa mengalami penderitaan serta tidak sesuai dengan persekitaran di sana.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan