SHAH ALAM, 24 April (Bernama) -- Atlas Copco Group telah melabur kira-kira RM10 juta untuk ibu pejabat baharu dan kemudahan bersepadu di Alam Impian di sini sebagai sebahagian daripada pengembangannya di Malaysia dan Asia Tenggara.
Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Teknik Pemampat Atlas Copco Malaysia dan Singapura, Khalid Shaikh berkata kemudahan yang dibina di atas tapak seluas 1.21 hektar itu akan berfungsi sebagai hab utama bagi operasinya di Malaysia dan rantau ini, ia bakal menyokong peranan perniagaan utama serta pusat perkhidmatan kewangan kongsi serantau.
Beliau berkata pelaburan itu mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan itu kepada Malaysia sejak mewujudkan kehadirannya pada tahun 1982 kerana kemudahan baharu itu juga akan menyelaras operasi di seluruh tapaknya di Kuantan, Pulau Pinang dan Johor, meningkatkan kecekapan operasi dan integrasi serantau.
“Kami berbangga untuk membuka kemudahan bersepadu baharu ini di Shah Alam hari ini. Kehadiran Atlas Copco Group di negara ini bermula pada tahun 1982 dengan hanya 10 pekerja dan telah berkembang menjadi pasukan yang terdiri daripada lebih 250 orang hari ini.
“Kemudahan ini menambah baik cara kami melayani pelanggan melalui penyelarasan lebih pantas dan penghantaran lebih cekap. Ia juga memperkukuh tumpuan kami untuk membangunkan bakat tempatan dan membina keupayaan jangka panjang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hab Bersepadu Atlas Copco di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor, Sherulanuar Abd Karim; Duta Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg; dan Pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) cawangan Selangor dan Kuala Lumpur, Dr Helena Eian Yeut Lian.
Khalid berkata keputusan untuk menubuhkan kemudahan di Shah Alam didorong oleh kedudukannya yang berdekatan dengan zon perindustrian utama serta akses hubungan strategik ke Pelabuhan Klang, Kuala Lumpur, lebuh raya utama dan Laluan Transit Rel Ringan 3 (LRT3) yang akan siap kelak.
Beliau berkata selain meningkatkan kecekapan operasi, ibu pejabat baharu itu juga dijangka menyokong pertumbuhan bakat dan pengembangan tenaga kerja.
“Ini memperkukuh logistik dan penyampaian perkhidmatan sambil menjadikannya lebih mudah diakses oleh pelanggan, rakan kongsi dan pekerja.
“Atlas Copco Group merancang untuk menggaji tambahan 80 hingga 100 pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang, terutamanya dalam peranan perkhidmatan, jualan dan pemasaran,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Khalid berkata ketegangan geopolitik global yang berlanjutan memberi peluang kepada pelabur asing untuk berkembang ke Asia Tenggara, terutamanya Malaysia.
Sementara itu, Sherulanuar berkata MIDA akan terus menyokong syarikat yang menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti, pembangunan kemahiran dan daya saing industri jangka panjang, seterusnya memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perindustrian serantau.
“Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai hab serantau utama untuk pelaburan perindustrian maju, dan kami gembira melihat usaha berterusan daripada pemain global dalam memperkukuh kehadiran mereka di sini,” katanya.
Beliau berkata pelaburan itu seiring dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030, memberi tumpuan kepada memajukan aktiviti perindustrian bernilai lebih tinggi dan memperkukuhkan ekosistem perindustrian negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial