Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (DENMARK), 23 April (Bernama) -- Taiwan tiba di sini untuk Pusingan Akhir Piala Thomas 2026 dengan membawa sesuatu yang tidak pernah mereka capai sebelum ini, iaitu momentum yang terbina daripada sejarah.
Selepas mara ke separuh akhir buat kali pertama di Chengdu 2024 di China, Ketua Pasukan Taiwan Chou Tien Chen, percaya bahawa mereka bukan lagi sekadar peserta, sebaliknya selaku pencabar yang mampu melangkah lebih jauh dalam usaha memburu gelaran Piala Thomas pertama mereka.
“Itulah sasaran kami (menang Piala Thomas). Jika anda sudah ada satu pencapaian, anda mahu melangkah lebih jauh daripadanya, tetapi kami perlu bergerak selangkah demi selangkah. Itulah yang sedang kami usahakan,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan hari ini.
Pada ketika Taiwan dilihat sebagai pasukan dark horse kejohanan, pemain nombor enam dunia itu percaya pasukannya cukup kuat untuk menyahut cabaran tersebut, khususnya dengan peningkatan prestasi pemain nombor lapan dunia Lin Chun-Yi, kebelakangan ini.
Pemain berusia 36 tahun itu berkata gabungan pemain muda dan berpengalaman, telah memberikan Taiwan keseimbangan baharu, dengan fleksibiliti dalam acara beregu serta keyakinan yang semakin meningkat dalam barisan perseorangan.
Pada Mac, Chun-Yi mencipta sejarah, apabila menjadi pemain perseorangan lelaki pertama dari Taiwan yang memenangi gelaran Kejohanan Badminton Terbuka All England, kejohanan badminton tertua di dunia, di Birmingham.
Selain Tien Chen dan Chun-Yi, Taiwan juga boleh bergantung kepada pemenang dua kali pingat emas Sukan Olimpik bagi acara beregu lelaki Wang Chi-Lin bersama gandingan semasanya Chiu Hsiang Chieh, untuk menyumbang mata penting buat negara itu.
Pemain lain termasuk pemain perseorangan lelaki nombor 21 dunia, Chi Yu Jen dan nombor 36 dunia, Lee Chia Hao, serta dua lagi pasangan beregu iaitu pasangan nombor 16 dunia, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan dan Liu Kuang Heng-Yang Po Huan (23).
Walaupun harapan semakin meningkat, Tien Chen berkata Taiwan tidak boleh memandang ringan cabaran daripada tuan rumah Denmark yang diundi dalam Kumpulan C, selain pencabar lain seperti juara 14 kali Indonesia, juara bertahan China dan juara lima kali Malaysia.
Taiwan akan membuka kempen Kumpulan C menentang Sweden pada 25 April, diikuti Korea Selatan (27 April) dan Denmark (29 April).
Pusingan Akhir Piala Thomas 2026 akan bermula esok hingga 3 Mei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial