Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Syarikat aeroangkasa dan pertahanan Perancis, Thales Group mempergiat usaha untuk mengembangkan perniagaan keselamatan di Malaysia dengan menyasarkan kerjasama lebih luas dengan Kementerian Dalam Negeri.
Thales Group juga akan mempercepat usaha penyetempatan bagi memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian keselamatan siber dan identiti digital.
Pengarah Negara Thales bagi Malaysia dan Brunei, Florian Riou berkata pihaknya menumpukan kepada pengukuhan kehadiran komersial melalui kerjasama tempatan baharu serta penawaran teknologi canggih, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pasaran utama dalam strategi pertumbuhan serantau Thales.
“Kami sedang giat mencari rakan kongsi untuk memperluas aktiviti penyetempatan dan menyediakan penyelesaian terkini, khususnya dalam keselamatan siber dan identiti digital,” katanya kepada Bernama di luar pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 dan pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata Malaysia kekal sebagai pasaran strategik bagi Thales, dengan pihaknya telah beroperasi sejak 1981 merentas sektor aeroangkasa, pertahanan, angkasa, keselamatan siber dan digital.
Riou berkata penyertaan dalam DSA dan NATSEC memberi peluang kepada Thales untuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan dan pengguna akhir, di samping mengenal pasti bidang kerjasama baharu.
“Penyetempatan penting bagi kami. Kami akan terus bekerjasama dengan rakan tempatan yang teguh dan peneraju seperti Weststar Group dan Advanced Defence Systems Sdn Bhd untuk memperluas kehadiran kami,” katanya.
Pada 22 April, Thales mengumumkan perkongsian dengan Advanced Defence Systems untuk menubuhkan barisan pemasangan tempatan bagi radio ditentukan oleh perisian generasi baharu SYNAPS (V/UHF) di Segamat, Johor, bagi memperkukuh keupayaan perindustrian dan kedaulatan teknologi Malaysia.
Riou berkata pihaknya komited terhadap pelaburan jangka masa panjang di Malaysia.
Lebih daripada 11,000 radio taktikal telah diserahkan setakat ini, katanya.
“Mengikut pelan semasa, kami menyasar untuk menyerahkan tambahan 6,000 radio kepada Angkatan Tentera Malaysia dalam tempoh enam tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata Thales juga telah memeterai perjanjian penting dengan Weststar Group yang merangkumi aktiviti radar dan berkaitan pertahanan, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran Thales di peringkat tempatan.
Bagaimanapun, Riou enggan mendedahkan butiran mengenai penguasaan pasaran Thales serta nilai kerjasama itu.
Mengenai risiko luaran, beliau berkata ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat serta ketidaktentuan harga minyak tidak menjejaskan operasi kumpulan itu.
“Kami memantau situasi ini dengan teliti, namun perniagaan kami tidak bergantung kepada bekalan minyak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial