AM

99.5 Peratus Isi Rumah Miliki Akses ICT - DOSM

23/04/2026 01:30 PM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Tahap capaian dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan isi rumah dan individu di Malaysia kekal tinggi pada 2025, mencerminkan kemajuan berterusan negara dalam pembangunan digital.

Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, menunjukkan sebanyak 99.5 peratus isi rumah mempunyai akses kepada telefon bimbit, radio dan televisyen.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata capaian kepada Internet dan komputer turut meningkat masing-masing kepada 97.1 peratus dan 92.6 peratus, sejajar dengan pengukuhan penggunaan teknologi digital dalam masyarakat.

“Capaian dan penggunaan ICT kekal tinggi, menggambarkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh keterangkuman digital merentasi semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata capaian kepada siaran televisyen berbayar dan telefon talian tetap menunjukkan penurunan masing-masing kepada 62 peratus berbanding dengan 67.1 peratus pada 2024 dan 27.6 peratus berbanding dengan 27.9 peratus pada tahun sebelumnya.

Dari segi penggunaan individu, beliau berkata penggunaan telefon bimbit meningkat kepada 99.6 peratus, manakala penggunaan komputer turut meningkat kepada 81.5 peratus, didorong peningkatan di kawasan bandar (87 peratus) dan luar bandar (65.5 peratus).

“Penggunaan Internet dalam kalangan individu pula meningkat kepada 98.3 peratus berbanding 98 peratus pada tahun sebelumnya, dengan kawasan bandar mencatat 99.2 peratus dan luar bandar 95.7 peratus.

“Penggunaan Internet kekal tinggi merentasi semua kumpulan umur, termasuk individu berusia 60 tahun ke atas yang mencatat peningkatan kepada 92.3 peratus,” katanya.

Selain itu, Mohd Uzir berkata tahap kemahiran ICT dalam kalangan individu kekal tinggi apabila lebih 90 peratus menunjukkan kecekapan dalam tugasan asas seperti menyalin atau memindahkan fail atau folder, manakala kemahiran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada tahap tinggi, dengan hampir semua indikator melebihi 80 peratus.

Mohd Uzir berkata aktiviti rangkaian sosial kekal dominan dengan 99.7 peratus pengguna terlibat di platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok, diikuti penggunaan media digital seperti muat turun muzik, video dan permainan sebanyak 94.8 peratus.

Di samping itu, 94.6 peratus pengguna menggunakan Internet untuk mencari maklumat mengenai barangan dan perkhidmatan, mencerminkan kebergantungan yang semakin meningkat terhadap platform digital dalam urusan harian.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan