KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Syarikat pertahanan berpangkalan di Finland, Forcit Defence, melihat Malaysia sebagai pintu masuk berpotensi ke pasaran ASEAN dalam usahanya untuk memperluas operasi, melangkaui kehadirannya yang kukuh di Eropah.
Naib Presiden Forcit Defence Hannu Hytti berkata Asia Tenggara dikenal pasti sebagai rantau pertumbuhan utama, dengan syarikat berkenaan meletakkan sistem periuk api darat dan laut untuk potensi penggunaan di Malaysia.
"Kami mengiktiraf Asia Tenggara sebagai pasaran sasaran kami, khususnya untuk periuk api laut. Kami telah memulakan perbincangan dengan Tentera Laut Diraja Malaysia, terdapat minat terhadap keupayaan pemasangan periuk api," katanya kepada Bernama pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 di sini, hari ini.
Hytti berkata syarikat itu juga meneroka pilihan untuk mewujudkan kehadiran serantau termasuk melalui perkongsian atau kerjasama dengan entiti tempatan.
"Kami perlu ada di sini, mungkin dalam bentuk entiti sendiri atau menerusi kerjasama dengan rakan tempatan. Saya fikir perkara ini perlu. (Malaysia) mungkin menjadi lokasi pertama yang ingin kami terokai," katanya.
Membandingkan persekitaran operasi, Hytti berkata perairan serantau di Asia Tenggara berkongsi persamaan dengan di Eropah, terutamanya di laluan laut strategik.
Beliau berkata sistem syarikat berkenaan meliputi aplikasi berasaskan laut dan darat, mencerminkan kepakaran dalam teknologi penafian kawasan yang dibangunkan selama beberapa dekad.
Sistem itu direka untuk "mendengar" kawasan sekitarnya, mengesan kapal melalui isyarat persekitaran.
"Berbeza dengan reka bentuk lama berasaskan sentuhan, sistem seperti ini tidak memerlukan sentuhan secara langsung dan boleh dicetuskan apabila kapal menghampiri. Ia menggunakan pengaruh akustik, magnetik dan tekanan," katanya.
Syarikat itu juga menawarkan sistem periuk api darat yang direka dengan ciri kawalan jauh, membolehkan pengendali mengurus dan memantau penggunaan, mencerminkan peralihan ke arah keupayaan yang lebih terkawal dan berasaskan rangkaian dalam sistem pertahanan moden.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial