AM

Gangguan Sistem Bagasi KLIA: MAHB Tambah Petugas, Kemuka Laporan Mingguan Kepada MOT

22/04/2026 06:36 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan melaksanakan beberapa langkah segera di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 termasuk penambahan bilangan petugas di kawasan ketibaan dan lokasi kritikal, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata MAHB turut diminta mengemukakan laporan kemajuan secara mingguan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk makluman kepada Jemaah Menteri.

Langkah berkenaan diputuskan susulan gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di KLIA Terminal 1 yang berpunca daripada bekalan elektrik terputus.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) telah membangkitkan isu gangguan perkhidmatan bagasi di KLIA yang berlaku akibat gangguan bekalan elektrik.

“Gangguan tersebut mengambil masa kira-kira lima jam dan berjaya dipulihkan sepenuhnya pada 10.30 malam,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan menekankan keperluan langkah penambahbaikan segera bagi memastikan kelancaran operasi di pintu masuk utama negara itu.

Pada Isnin lepas, MOT mengesahkan gangguan bekalan elektrik telah menyebabkan BHS di KLIA Terminal 1 terjejas pada Sabtu (18 April).

Menurut kenyataan MOT, hasil siasatan telah mengenal pasti punca utama gangguan dan langkah mitigasi segera serta jangka panjang sedang dilaksanakan bagi mengelak kejadian berulang, di samping memperkukuh daya tahan sistem.

Sementara itu, Fahmi berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan beberapa keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), khususnya langkah penjimatan tenaga dalam sektor awam.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua kementerian, jabatan serta agensi supaya mengutamakan langkah penjimatan. 

“Antara langkah yang ditekankan ialah memperbanyak mesyuarat dalam talian dan mengurangkan mesyuarat bersemuka, mengehadkan perjalanan ke luar negara serta mengutamakan penggunaan premis kerajaan bagi penganjuran bengkel dan program latihan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan mengurus kesan krisis tenaga global secara berhemat, di samping memastikan penyampaian perkhidmatan awam kekal cekap dan berkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan