SHAH ALAM, 22 April (Bernama) -- Pengasas dan pengurus sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran yang sah pada Januari lepas.
Pengasas taska tersebut, Datin Nor Fadilah Alias, 36, dan pengurusnya Nurrul Farhana Ramlee, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran sah daripada Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sebuah taska di Seksyen 3 di sini, pada 3.54 petang, 21 Jan lepas.
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Nor Fadilah dan Nurrul Farhana masing-masing turut menghadapi pertuduhan menjalankan operasi taska tidak berdaftar di sebuah taska di Kota Kemuning, di sini, pada 12.30 tengah hari, 19 Jan lepas.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, Nurrul Farhana turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan iaitu cuai dengan membahayakan nyawa seorang kanak-kanak di bawah jagaannya sehingga terkurung dalam sebuah bilik sebuah taska di Seksyen 3, di sini pada 4.32 petang, 6 Okt 2025.
Wanita itu dituduh di bawah Seksyen 336 Akta Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khawarizmi Azfar menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan, bagaimanapun peguam Anwar Ezzad Zainal yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu agar jumlah itu dikurangkan kepada RM2,000 bagi setiap pertuduhan.
Anwar Ezzad berkata jumlah itu terlalu tinggi dan menyifatkan jaminan bukan satu bentuk hukuman, sebaliknya bertujuan untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah.
Muhammad Syafiq kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak autistik dikurung di dalam sebuah bilik stor dalam keadaan menangis teresak-esak di sebuah taska di Shah Alam sebelum JKM mengesahkan taska berkenaan tidak berdaftar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial