IPOH, 21 April (Bernama) -- Mahasiswa Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) melangkah keluar dari bilik kuliah untuk menangani cabaran kejuruteraan dunia sebenar, seperti yang dipamerkan di Pameran Reka Bentuk Kejuruteraan Bersepadu (INDEX2026).
UTP dalam kenyataan memaklumkan pameran itu menampilkan mahasiswa tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu yang membentangkan projek praktikal dan berfokuskan pengguna yang dibangunkan seawal semester kedua mereka, dan merupakan perubahan yang dirancang ke arah pembelajaran berasaskan amali dan aplikasi dari awal pengajian.
“Projek-projek tersebut dipamerkan pada INDEX2026 yang berlangsung buat julung-julung kalinya, dengan pelajar membentangkan prototaip yang menangani cabaran praktikal dalam persekitaran kampus.
“Projek yang dipamerkan turut merangkumi penyelesaian untuk mengurangkan haba dalam kenderaan yang diparkir, inisiatif bagi memperbaiki keadaan Tasik UTP serta reka bentuk yang bertujuan meningkatkan kemudahan dan kelestarian alam sekitar.
Acara tersebut menghimpunkan 50 pelajar, tenaga pengajar dan wakil industri termasuk PETRONAS serta ExxonMobil Business Support Centre Malaysia, sekali gus menyediakan peluang untuk penglibatan serta pendedahan awal kepada keperluan industri.
Dalam pada itu, Pengerusi Jabatan Kejuruteraan Bersepadu UTP Prof Madya Ir Dr Zahiraniza Mustaffa berkata pameran tersebut menonjolkan nilai pendedahan awal kepada penyelesaian masalah dunia sebenar.
“Pelajar kami bukan sekadar mempelajari teori. Mereka mengenal pasti masalah sebenar, bekerjasama dengan pengguna serta membangunkan penyelesaian yang boleh diuji dan ditambah baik.
“Pengalaman seperti ini membina keyakinan dan membantu mereka memahami bagaimana kejuruteraan diaplikasikan dalam konteks dunia sebenar. Ia juga mencerminkan pendekatan kami dalam melahirkan jurutera yang bersedia menghadapi masa depan, iaitu individu yang bersifat adaptif, inovatif serta mampu memberikan impak bermakna dalam landskap kejuruteraan yang sentiasa berkembang.
“Sebahagian daripada projek ini mungkin akan dilaksanakan di kampus, diperhalusi lagi pada semester akan datang atau malah dibangunkan menjadi idea keusahawanan peringkat awal,” katanya.
Pameran itu diadakan serentak dengan Academic Performance and Engineering Excellence (APEX2026), yang mengiktiraf pencapaian akademik serta pembangunan holistik pelajar.
Anugerah tersebut memberi pengiktirafan kepada pelajar berprestasi tinggi, termasuk mereka yang berada dalam Senarai Dekan, serta individu yang menunjukkan ciri-ciri utama seperti inovasi, kebolehsuaian, keupayaan teknikal, kesedaran terhadap kelestarian dan kemampuan menyelesaikan masalah kompleks, sekali gus mencerminkan ciri-ciri lebih luas yang diharapkan daripada jurutera yang bersedia untuk masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial