PARIT, 21 April (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Dewan Rakyat memulakan lawatan kerja tiga hari ke Perak dengan memberi tumpuan kepada sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara.
Pengerusinya Cha Kee Chin berkata lawatan hari pertama memberi fokus kepada sektor pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), termasuk projek penanaman bawang di Sungkai yang dilihat sebagai inisiatif baharu namun berpotensi besar.
Cha yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata inisiatif penanaman bawang tempatan tercetus susulan gangguan bekalan import beberapa tahun lepas, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan sumber domestik hasil usaha KPKM bersama agensi seperti Jabatan Pertanian dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
"Projek yang dilawati melibatkan kawasan kira-kira 1.2 hektar dan telah menunjukkan hasil memberangsangkan dengan lima kali kitaran penanaman dan tuaian. Saya difahamkan lebih banyak lagi kawasan akan dilaksanakan projek tanaman bawang di Perak.
"Tanaman ini masih baharu namun permulaan yang baik walaupun pengeluaran tempatan masih belum mencukupi dan sasaran KPKM adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 20 peratus pengeluaran tempatan menjelang 2030," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama bersama delegasi ahli Parlimen lain melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Titi Gantung bagi tanaman jagung manis.
Mengenai tanaman jagung manis itu, beliau berkata pengeluarannya bukan sahaja memenuhi permintaan tempatan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar serta golongan muda.
“Jika tidak diusahakan secara tempatan, kita akan terus bergantung kepada import yang menyebabkan aliran keluar wang negara,” katanya sambil menambah jawatankuasa itu komited menyokong usaha bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara demi kepentingan rakyat Malaysia.
Cha berkata setiap lawatan kerja yang dijalankan akan disusuli dengan sesi libat urus bersama agensi berkaitan di Parlimen sebelum satu laporan rasmi disediakan dan dikemukakan.
“Laporan akan dibahaskan di Dewan Rakyat bagi memastikan segala cadangan dan penemuan diberi perhatian serius oleh pihak kementerian serta agensi berkaitan,” katanya.
Beliau berkata pengalaman semasa pandemik COVID-19 yang menjejaskan rantaian bekalan import perlu dijadikan iktibar dalam merancang strategi keterjaminan makanan negara.
Lawatan delegasi turut akan meninjau beberapa lagi lokasi termasuk Pangkalan Nelayan Manjung Utara di Pantai Remis, kolam ternakan ikan dan udang air tawar di Bagan Datuk serta Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn Bhd di Seberang Perak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial