AM

Wajibkan Caruman Lindung Kendiri Sektor Penjaja, MBSP Terima Pengiktirafan MBOR

21/04/2026 05:59 PM

BUKIT MERTAJAM, 21 April (Bernama) -- Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR), apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) bagi sektor penjaja.

Pengiktirafan itu direalisasikan menerusi pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan MBSP, yang berlangsung di sini hari ini.

Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal berkata menerusi MoU berkenaan, setiap penjaja di bawah seliaan MBSP kini diwajibkan mencarum dalam skim tersebut, sebagai syarat permohonan baharu atau pembaharuan lesen perniagaan.

“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan semua penjaja dan peniaga kecil di Malaysia, mempunyai jaringan keselamatan sosial yang kukuh dan stabil dan caruman ini merupakan persediaan buat mereka.

“Di Pulau Pinang sahaja bagi tempoh 2024 hingga Februari lepas, sebanyak RM3.92 juta tuntutan faedah telah diluluskan oleh Perkeso kepada pencarum,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen Persefahaman Pelaksanaan Pemandatorian Caruman Skim LINDUNG Kendiri di sini, hari ini.

Terdahulu, Subahan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan serta Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang H’ng Mooi Lye, menyaksikan pertukaran MoU antara Datuk Bandar Seberang Perai Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata pemberian faedah di bawah LINDUNG Kendiri merangkumi penerima daripada 20 sektor, dengan sektor penjaja sahaja menerima manfaat berjumlah RM479,048 manakala setakat Februari tahun ini, sebanyak 20 penjaja di Pulau Pinang telah menerima faedah berjumlah RM90,734.

Subahan berkata berdasarkan perangkaan Perkeso sehingga 3 April, sebanyak 16,933 Orang Bekerja Sendiri (OBS) di Pulau Pinang aktif mencarum di bawah Skim LINDUNG Kendiri, dengan 32 peratus atau 5,422 orang daripadanya terdiri daripada sektor penjaja.

Subahan berkata Perkeso melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), komited menjadikan model kerjasama berkenaan sebagai contoh nasional untuk diperluas ke PBT lain di seluruh negara.

Sementara itu, Baderul Amin berkata pelaksanaan pemandatorian caruman Skim LINDUNG Kendiri, mencerminkan komitmen MBSP dalam memastikan kebajikan penjaja dan peniaga kecil terus terpelihara, melalui jaringan keselamatan sosial yang komprehensif, memanfaatkan lebih 5,641 penjaja berlesen di bawah seliaan MBSP.

“Perlindungan sosial bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Melalui caruman ini, penjaja bukan sahaja dilindungi daripada risiko kemalangan atau kehilangan pendapatan, malah turut menjamin kesejahteraan keluarga mereka,” katanya.

Baderul Amin berkata pelaksanaan inisiatif itu diperkukuh melalui integrasi sistem digital MBSP dengan Perkeso, bagi memudahkan semakan caruman ketika permohonan dan pembaharuan lesen, selaras dengan aspirasi pendigitalan perkhidmatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan